Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Forum Eksekutif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) 2026 mengetengahkan ekosistem ekonomi Johor–Singapura sebagai pintu masuk strategik syarikat Eropah dalam pasaran Pertubuhan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN).
Forum tersebut menghimpunkan lebih daripada 250 pembuat dasar, pemimpin perniagaan, pelabur dan penggiat industri bagi meneroka potensi koridor ekonomi Malaysia–Singapura sebagai hab pertumbuhan serantau.
Forum yang dianjurkan oleh Pihak Berkuasa Pembangunan Wilayah Iskandar (IRDA) ini turut memperkukuh komitmen dalam mempercepat pelaburan, memudah cara padanan perniagaan dan menggalakkan kerjasama strategik industri merentas sempadan.
Forum yang bertemakan “Unlocking the Malaysia-Singapore Advantage: Your Gateway to ASEAN Growth” dirasmikan oleh Menteri Ekonomi, YB Tuan Haji Akmal Nasrullah Haji Mohd Nasir.
Dalam ucaptama beliau, JS-SEZ disifatkan sebagai langkah praktikal ke arah memperkukuh integrasi ekonomi serantau melalui gabungan kekuatan industri Malaysia dengan rangkaian hubungan global Singapura.
Menurut beliau, JS-SEZ bukan sekadar inisiatif yang memudahkan pergerakan manusia dan barangan merentas sempadan, malah berperanan menyatukan kapasiti industri Malaysia dengan jaringan global Singapura dalam satu platform yang lebih kompetitif bagi menarik pelabur antarabangsa.
Beliau berkata, pelaksanaan JS-SEZ hadir pada masa yang tepat ketika syarikat global sedang menilai semula rantaian bekalan, mempelbagaikan lokasi pengeluaran dan mencari destinasi yang stabil untuk menyokong pertumbuhan jangka masa panjang.
Beliau turut menjelaskan bahawa ASEAN semakin menjadi destinasi pelaburan utama dunia dengan populasi sebanyak 684.1 juta penduduk, menerima pelaburan langsung asing (FDI) berjumlah USD230.8 bilion dan merekodkan perdagangan barangan bernilai USD3.844 trilion pada tahun 2024. Dalam konteks ini, JS-SEZ menyediakan platform khusus yang membolehkan pelabur memanfaatkan kelebihan strategik Malaysia dan Singapura untuk menembusi pasaran ASEAN.
Menteri Ekonomi berkata, Malaysia menawarkan kapasiti perindustrian yang kukuh, rantaian bekalan yang mendalam, ekosistem pembuatan yang berdaya saing, infrastruktur strategik, serta tenaga kerja berkemahiran, manakala Singapura melengkapinya dengan sektor kewangan yang maju, jaringan hubungan global dan perkhidmatan bernilai tinggi. Gabungan kekuatan kedua-dua negara ini mewujudkan ekosistem yang membolehkan modal, teknologi, bakat dan perniagaan berkembang dengan lebih yakin.
Beliau menegaskan bahawa kejayaan JS-SEZ tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah pengumuman pelaburan semata-mata, sebaliknya melalui pencapaian nyata seperti pelaksanaan projek bernilai tinggi, pewujudan peluang pekerjaan berkemahiran, pemindahan teknologi dan manfaat yang dinikmati oleh perusahaan tempatan.
Oleh itu, sasaran JS-SEZ untuk merealisasikan 50 projek bernilai tinggi dan mewujudkan 20 000 pekerjaan berkemahiran dalam tempoh lima tahun perlu diterjemahkan kepada peluang ekonomi sebenar untuk rakyat Johor, syarikat tempatan dan golongan belia.
Dalam pada itu, Kerajaan Persekutuan akan terus menyokong pembangunan JS-SEZ melalui penyelarasan dasar, reformasi institusi dan langkah pemudah cara yang disasarkan bagi meningkatkan keyakinan pelabur dan mempercepat pelaksanaan projek.
Antara inisiatif utama termasuklah penubuhan Invest Malaysia Facilitation Centre Johor (IMFC-J) yang berfungsi sebagai pusat sehenti bagi menyelaras kemudahan pelaburan, kelulusan kawal selia, pemprosesan pas ekspatriat dan penyelesaian isu selepas pelaburan.
IRDA, Invest Johor dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) turut memainkan peranan penting dalam menghubungkan pelabur, penggiat industri dan agensi kerajaan bagi merealisasikan aspirasi JS-SEZ.
Malaysia turut memperkukuh daya saingnya pada peringkat global apabila meningkat lapan anak tangga ke kedudukan ke-15 daripada 70 ekonomi dalam Ranking Daya Saing Dunia (WCR) 2026, sekali gus mencatat kedudukan terbaik negara dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Pencapaian ini dijangka mengukuhkan lagi nilai tambah JS-SEZ sebagai destinasi pelaburan pilihan di rantau ini.
Forum berkenaan turut menampilkan tiga sesi strategik bermula dengan ucaptama menteri bertajuk “JS-SEZ: Building ASEAN’s Most Competitive Cross-Border Economic Ecosystem”, diikuti sesi interaktif “Policy Pulse” yang membincangkan keutamaan dasar dan kemajuan pelaksanaan bersama-sama Menteri Ekonomi.
Program itu diakhiri dengan forum eksekutif bertajuk “From Strategy to Reality: How Businesses Are Leveraging the Malaysia-Singapore Ecosystem” yang menghimpunkan penggiat industri bagi berkongsi pandangan tentang sinergi rentas sempadan, rantaian bekalan dan strategi pertumbuhan serantau.