Diterbitkan pada 27 Jun 2026, 16:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pameran Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur 2026 (KLIMS 2026) menutup tirai dengan kejayaan memberangsangkan apabila merekodkan kehadiran sebanyak 205 440 pengunjung sepanjang penganjuran selama 10 hari.

Pencapaian ini membuktikan minat pengguna yang tinggi terhadap perkembangan industri automotif dan mobiliti negara, di samping memperlihatkan keyakinan berterusan penggiat industri terhadap potensi sektor tersebut.

Penganjuran edisi ke-11 ini bukan sahaja menerima sambutan luar biasa daripada orang ramai, malah berjaya menjana minat komersial yang kukuh menerusi penyertaan pelbagai jenama automotif tempatan dan antarabangsa, serta pempamer teknologi mobiliti terkini.

Perkembangan ini mencerminkan daya tahan industri automotif Malaysia yang terus berkembang seiring dengan perubahan landskap teknologi global dan peralihan ke arah mobiliti masa hadapan.

Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), YBrs. Encik Mohd Shamsor Mohd Zain berkata, sambutan positif daripada pengunjung dan penyertaan meluas syarikat automotif membuktikan industri kini bergerak pantas ke arah elektrifikasi, inovasi digital dan pembangunan penyelesaian mobiliti pintar yang lebih mampan.

Menurut beliau, KLIMS kini bukan sekadar platform pameran kenderaan baharu, sebaliknya telah berkembang menjadi hab mobiliti menyeluruh yang menghimpunkan keseluruhan ekosistem automotif bagi menggalakkan kerjasama industri, mempercepat inovasi dan menyokong aspirasi malaysia ke arah sistem pengangkutan yang lebih selamat, bersih dan lestari.

Bertemakan “Beyond Mobility”, KLIMS 2026 menampilkan pelbagai inovasi dalam bidang kenderaan elektrik (EV), teknologi hijau, mobiliti pintar dan penyelesaian pengangkutan masa hadapan. Pameran ini menghimpunkan pelbagai pengeluar automotif terkemuka seperti Proton, Perodua, Honda, Hyundai, Toyota, Mazda, Nissan, MG Motor, XPENG, Zeekr, GWM, Jetour, Kia dan beberapa jenama antarabangsa lain.

Antara tarikan utama termasuklah pelancaran dan pratonton beberapa model baharu, termasuk model elektrik dan hibrid yang mencerminkan komitmen industri terhadap agenda penyahkarbonan dan penggunaan teknologi rendah karbon. Perkembangan ini selaras dengan usaha negara mempercepat peralihan kepada mobiliti lestari dan memperkukuh ekosistem kenderaan elektrik tempatan.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Qube Integrated Malaysia, YBrs. Encik Richard Teo berkata, KLIMS 2026 sekali lagi berjaya menetapkan penanda aras baharu sebagai pameran mobiliti berskala besar yang menggabungkan inovasi automotif, gaya hidup dan pelibatan komuniti dalam satu platform yang komprehensif.

Menurut beliau, pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan pengalaman pengunjung, malah memperkukuh hubungan antara penggiat industri, pelabur dan pengguna, sekali gus menyokong pembangunan industri automotif negara secara menyeluruh.

Kejayaan KLIMS 2026 memperlihatkan keyakinan berterusan terhadap prospek industri automotif Malaysia, di samping mengukuhkan kedudukan negara sebagai antara hab utama inovasi mobiliti di rantau ini. Sambutan yang diterima dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan pelaburan, pembangunan teknologi dan pengembangan pasaran automotif tempatan pada masa hadapan.

Kredit Foto: Qube Integrated Malaysia
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi