Diterbitkan pada 1 Julai 2026, 09:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya — Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) membatalkan sepenuhnya Arahan Melaksanakan Kawalan Penjualan Diesel ke atas kenderaan pengangkutan darat yang berkuat kuasa sejak 27 Mac 2026.

Menurut kenyataan KPDN, pembatalan yang berkuat kuasa mulai 1 Julai 2026 itu melibatkan Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan. Sehubungan dengan itu, had jualan diesel sebanyak 50 liter, 100 liter dan 150 liter yang dikenakan sebelum ini dimansuhkan.

Pembatalan tersebut susulan pengumuman Perdana Menteri pada 21 Jun lalu mengenai penyeragaman harga diesel bersubsidi di bawah Program BUDI Diesel kepada RM2.10 seliter, serta pelaksanaan mekanisme baharu pembelian diesel bersubsidi menggunakan MyKad di stesen minyak bermula hari ini.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, YBhg. Datuk Azman Adam berkata, semua pemegang lesen barang kawalan berjadual runcit yang menjual petrol atau diesel di kawasan terbabit diminta mengambil maklum bahawa arahan kawalan berkenaan tidak lagi berkuat kuasa.

Beliau berkata, mekanisme baharu itu diyakini dapat memastikan pengagihan diesel bersubsidi dilaksanakan secara lebih bersasar, cekap dan berkesan di samping memudahkan urusan pengguna yang layak.

KPDN turut menggesa semua pihak mematuhi mekanisme baharu yang ditetapkan bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar demi kepentingan rakyat dan negara.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi