Diterbitkan pada 29 Jun 2026, 18:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kerajaan melancarkan Inisiatif BAKAT MADANI sebagai usaha nasional yang menghimpunkan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) bagi memperkukuh pembangunan bakat negara.

Inisiatif yang dilancarkan oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim menyasarkan sebanyak 25 000 individu menerima manfaat pembangunan kemahiran, peluang pekerjaan berkualiti dan mobiliti sosial yang lebih baik dalam tempoh setahun bermula pertengahan tahun 2026.

Inisiatif BAKAT MADANI memberikan tumpuan pada tiga bidang utama, iaitu memperkukuh kebolehpasaran dan penempatan kerjaya dalam ekosistem GLIC, GLC dan PETRONAS, memperluas peluang pekerjaan merentas sektor strategik negara dan memperkasakan institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) melalui kerjasama erat dengan industri bagi melahirkan tenaga kerja yang memenuhi keperluan ekonomi masa hadapan.

Berteraskan prinsip Modal Ihsan, BAKAT MADANI turut memperluas akses kepada latihan, peningkatan kemahiran dan peluang pekerjaan kepada golongan rentan, termasuk isi rumah B40, asnaf, individu yang memerlukan peluang kedua, serta bekas anggota Angkatan Tentera Malaysia yang sedang melalui fasa peralihan kerjaya. Tumpuan juga diberikan kepada sektor bernilai tinggi dan berpotensi besar seperti semikonduktor, tenaga boleh baharu, ekonomi digital dan pembuatan termaju.

Bagi menggalakkan penyertaan industri secara lebih meluas, kerajaan akan memperkenalkan potongan cukai istimewa kepada syarikat yang melaksanakan program latihan di bawah BAKAT MADANI. Insentif baharu itu merupakan penambahbaikan kepada insentif kebolehpasaran sedia ada yang diperluas kepada lepasan TVET, selain peningkatan kadar elaun minimum bagi memastikan pelatih menerima ganjaran yang lebih adil dan kompetitif. Perincian mengenai pelaksanaan insentif tersebut akan diumumkan selepas dimuktamadkan.

Menteri Kewangan II, YB Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pelaburan dalam pembangunan bakat bukan sahaja mampu meningkatkan taraf hidup rakyat, malah memperkukuh asas ekonomi negara. Usaha mengangkat potensi rakyat dan mempercepat pertumbuhan ekonomi merupakan satu kitaran yang saling mengukuhkan antara satu sama lain.

Pelbagai program pembangunan bakat di bawah GLIC, GLC dan PETRONAS turut diperkasakan menerusi inisiatif tersebut. Antaranya termasuklah transformasi program VISTA kepada Vista i-Plus yang dilaksanakan oleh PETRONAS bersama-sama Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp), Perbadanan Sumber Petroleum Malaysia (MPRC), Majlis Perkhidmatan Minyak, Gas dan Tenaga Malaysia (MOGSC), serta Kontraktor Pengaturan Petroleum (PAC). Program latihan TVET bersepadu itu melibatkan institusi seperti Institut Kemahiran MARA (IKM), Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Advanced Technology Training Centre (ADTEC) dan Akademi Binaan Malaysia (ABM).

Dalam ekosistem GLIC dan GLC pula, Khazanah Nasional Berhad bekerjasama dengan 23 institusi pengajian tinggi termasuk Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi menyediakan latihan industri, pensijilan teknikal dan pendedahan kepada keperluan industri untuk melahirkan bakat yang bersedia memasuki alam pekerjaan.

Majlis pelancaran yang dihadiri lebih daripada 700 peserta menghimpunkan barisan menteri, ketua setiausaha kementerian, kepimpinan GLIC, GLC dan PETRONAS, serta penerima manfaat program pembangunan bakat dari seluruh negara.

Kerajaan menegaskan bahawa BAKAT MADANI menjadi jambatan antara bakat rakyat dengan peluang ekonomi masa hadapan melalui penyediaan akses kepada latihan, pensijilan dan pekerjaan berkualiti, khususnya kepada graduan, belia TVET dan golongan rentan.

Sehubungan dengan itu, Kementerian Kewangan menyeru lebih banyak syarikat berkaitan dengan kerajaan, penggiat industri dan institusi latihan menyertai BAKAT MADANI sebagai sebahagian daripada komitmen bersama membina bakat negara.

Kredit Foto: Facebook Kementerian Kewangan
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi