Diterbitkan pada 26 Jun 2026, 21:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kerajaan memperkenalkan beberapa penambahbaikan terhadap pelaksanaan BUDI Diesel bagi memudahkan peralihan kepada mekanisme subsidi diesel bersasar menjelang akses awal yang bermula pada 27 Jun 2026 di Semenanjung Malaysia.

Langkah tersebut diputuskan selepas Kerajaan MADANI mengadakan beberapa sesi libat urus bersama-sama rakyat, peniaga kecil, pihak berkepentingan dan agensi pelaksana bagi memastikan pelaksanaan subsidi bersasar dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat yang layak.

Menteri Kewangan II, YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, penambahbaikan itu dibuat selepas kerajaan mengambil kira pelbagai kebimbangan dan rayuan yang dikemukakan, termasuk situasi penggunaan sebenar kenderaan diesel yang berbeza daripada rekod pemilikan.

Menurut beliau, pelaksanaan BUDI Diesel bertujuan memastikan subsidi diesel disalurkan kepada golongan yang benar-benar layak, di samping menutup ruang ketirisan yang mengakibatkan kerugian berbilion ringgit kepada negara setiap tahun.

Bagi memudahkan urusan pemilik dan pengguna kenderaan diesel mengemas kini rekod pemilikan, Kementerian Pengangkutan melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melaksanakan Program Insentif Pengecualian Sementara Fi Tukar Hak Milik (THM) Kenderaan Diesel selama tiga bulan bermula 1 Julai 2026. Melalui inisiatif ini, fi pertukaran hak milik yang sebelum ini mencecah hingga RM100 bergantung pada jenis kenderaan dan lokasi pendaftaran akan dikecualikan.

Langkah tersebut bertujuan memastikan maklumat pemilikan kenderaan lebih tepat dan selaras dengan penggunaan sebenar memandangkan rekod pemilikan, serta cukai jalan aktif merupakan antara syarat utama kelayakan BUDI Diesel.

Bagi melancarkan pelaksanaan inisiatif tersebut, JPJ turut membuka kaunter perkhidmatan khas pada hujung minggu dari 4 Julai hingga 26 Julai 2026 di semua Pejabat JPJ Negeri dan Pejabat JPJ UTC Negeri bermula pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang.

Kaunter itu akan mengendalikan urusan berkaitan dengan permohonan BUDI Diesel, termasuk pertukaran hak milik, pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM), cukai jalan, serta urusan berkaitan dengannya yang lain.

Kerajaan juga membenarkan kelayakan subsidi diesel dipindahkan kepada ahli keluarga terdekat yang merupakan pengguna sebenar kenderaan tersebut tertakluk pada syarat dan proses pengesahan yang akan ditetapkan.

Penambahbaikan itu mengambil kira keadaan dengan sesebuah kenderaan diesel digunakan oleh ahli keluarga selain pemilik berdaftar. Mekanisme pemindahan kelayakan berkenaan akan diumumkan melalui saluran rasmi BUDI MADANI selepas perincian teknikal dimuktamadkan.

Selain itu, skop BUDI Diesel turut diperluas kepada kenderaan pikap dan jip diesel persendirian milik syarikat selepas mengambil kira maklum balas peniaga kecil dan pengguna yang menggunakan kenderaan tersebut bagi tujuan perniagaan harian. Perluasan itu dijangka memberikan manfaat kepada pengguna yang menjalankan perniagaan kecil, melakukan perjalanan harian dan beroperasi di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Pemilik kenderaan dalam kategori berkenaan boleh membuat semakan kelayakan dan permohonan melalui portal rasmi BUDI MADANI selepas sistem permohonan dikemas kini.

Akses awal BUDI Diesel akan bermula pada 27 Jun 2026 bagi pengguna kenderaan diesel persendirian yang layak di Semenanjung Malaysia. Dalam tempoh tersebut, diesel bersubsidi boleh dibeli pada harga RM2.15 seliter melalui pengesahan MyKad di stesen minyak yang mengambil bahagian sebelum pelaksanaan penuh di seluruh negara bermula pada 1 Julai 2026 dengan harga subsidi RM2.10 seliter kepada rakyat Malaysia yang layak.

Pada masa yang sama, lebih banyak pemilik kenderaan diesel persendirian di Semenanjung Malaysia yang sebelum ini tidak menerima Bantuan Tunai BUDI Diesel Individu akan menikmati akses kepada diesel bersubsidi melalui BUDI Diesel. Penerima sedia ada BUDI Diesel Individu yang telah menerima bantuan tunai RM400 pada awal Jun 2026 turut boleh membeli diesel pada harga bersubsidi melalui pengesahan MyKad.

Pemilik kenderaan diesel persendirian boleh menyemak status kelayakan dan had kelayakan bulanan melalui portal rasmi BUDI MADANI. Bagi pemilik pikap dan jip yang layak, permohonan tambahan kuota sebanyak 100 liter sebulan juga boleh dibuat melalui portal yang sama selepas sistem dikemas kini.

Kerajaan menegaskan akan terus memantau pelaksanaan akses awal BUDI Diesel dan meneliti maklum balas rakyat bagi memastikan peralihan kepada mekanisme subsidi diesel bersasar berjalan lancar, serta manfaat subsidi dapat disalurkan kepada rakyat Malaysia yang benar-benar layak.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi