Diterbitkan pada 29 Jun 2026, 12:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuching – Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mencadangkan agar sekitar 70 peratus hasil kutipan cukai karbon disalurkan semula kepada Sabah dan Sarawak sebagai pengiktirafan terhadap peranan kedua-dua negeri sebagai kawasan penyimpanan karbon utama negara.

Beliau berkata, pelaksanaan cukai karbon di Malaysia perlu mengambil kira sumbangan besar Sabah dan Sarawak dalam memelihara ekosistem hutan, tanah gambut dan tanah paya yang berfungsi sebagai penyerap karbon semula jadi.

Menurut beliau, Sarawak memiliki kapasiti penyimpanan karbon yang tinggi menerusi keluasan kawasan hutan, tanah gambut dan tanah paya, sekali gus menjadikannya aset penting dalam pembangunan ekonomi hijau negara.

“Sebelum melaksanakan cukai karbon, perlu dipertimbangkan komponen cukai yang harus dikembalikan kepada Sabah dan Sarawak,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Gala Sambutan Gawai-Kaamatan DCCI-KCCI 2026 di Kompleks UNIFOR, semalam.

Abang Johari berkata, dasar karbon negara perlu dirangka secara lebih adil dengan mengambil kira sumbangan ekosistem hutan di Borneo terhadap usaha negara mengurangkan pelepasan karbon.

Terdahulu, Timbalan Menteri Kewangan, YB Liew Chin Tong memaklumkan di Dewan Rakyat bahawa kerajaan kini berada pada peringkat akhir memuktamadkan dasar cukai karbon negara secara menyeluruh.

Pelaksanaan awal cukai karbon dijangka memberikan tumpuan kepada sektor besi, keluli dan tenaga sebagai sebahagian daripada usaha Malaysia mencapai sasaran pelepasan karbon sifar bersih menjelang tahun 2050.

Kredit Foto: FB Unit Komunikasi Awam Sarawak
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi