Diterbitkan pada 24 Jun 2026, 12:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Tebrau – Pelan Strategik Industri Perkayuan Negara (NTISP) 2026–2030 bakal memacu transformasi industri perkayuan negara ke arah sektor yang lebih berteknologi tinggi, mampan dan berdaya saing pada peringkat global.

Pelan tersebut dilancarkan sempena Majlis Penutupan Sambutan World Wood Day (WWD) 2026 yang bertemakan “Kayu Malaysia: Kelestarian Teras Keunggulan”.

Pelancarannya menjadi langkah penting dalam memperkukuh pembangunan industri perkayuan negara dan meningkatkan sumbangannya kepada pertumbuhan ekonomi dan ekonomi hijau.

Menerusi ucapan Menteri Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Seri Noraini Ahmad yang disampaikan oleh Pengerusi Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), YB Datuk Larry Sng Wei Shien, beliau menegaskan bahawa kayu perlu diangkat sebagai produk teknologi, produk reka bentuk dan produk eksport bernilai tinggi yang mampu menjana nilai tambah kepada ekonomi negara.

Kerajaan komited untuk memperkukuh daya saing sektor perkayuan melalui penggunaan teknologi moden, peningkatan kemahiran tenaga kerja dan amalan kelestarian yang lebih menyeluruh.

NTISP 2026–2030 turut berperanan sebagai pemangkin kepada perubahan persepsi terhadap industri perkayuan daripada konsep 3D (dirty, dangerous, difficult) kepada 3S (skills, sustainable, safety). Pendekatan tersebut dilihat penting bagi menarik minat golongan muda untuk menyertai industri berkenaan dan memastikan kelangsungan pembangunan modal insan yang berkualiti.

Bagi menyokong ekosistem industri, majlis berkenaan turut menyaksikan penyampaian bantuan mesin kepada usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), selain penyampaian hadiah Pertandingan Fotografi World Wood Day.

Pengunjung juga berpeluang menyaksikan pelbagai pameran interaktif di reruai agensi dan usahawan, serta melawat ruang pameran khas yang memaparkan koleksi foto kreatif hasil pertandingan tersebut.

Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) menegaskan komitmennya untuk terus memperkukuh kerjasama strategik dengan pelbagai pihak bagi memastikan produk perkayuan Malaysia kekal berdaya saing dan mampu menembusi pasaran antarabangsa dengan lebih meluas.

Industri perkayuan Malaysia kini mencatatkan nilai eksport sebanyak RM22.92 bilion dan menyediakan peluang pekerjaan kepada lebih daripada 178 000 tenaga kerja. Prestasi tersebut membuktikan sektor perkayuan terus memainkan peranan penting sebagai antara penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi negara dan kestabilan pasaran domestik.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Ketua Setiausaha KPK, YBhg. Dato’ Yusran Shah Mohd Yusof.

Kredit Foto: Facebook Kementerian Perladangan dan Komoditi
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi