Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Jawatankuasa Pasaran Kewangan (FMC) mendapati asas ekonomi Malaysia kekal kukuh meskipun mata wang negara berdepan dengan tekanan akibat perkembangan global dan perubahan sentimen pasaran kewangan antarabangsa.
FMC berpandangan demikian selepas bermesyuarat pada 23 Jun 2026 bagi membincangkan perkembangan terkini dalam pasaran pertukaran asing ringgit.
Menurut FMC, pergerakan ringgit dan mata wang serantau kebelakangan ini terus dipengaruhi oleh faktor luaran. Walaupun ketidaktentuan geopolitik semakin reda susulan perjanjian damai sementara antara Amerika Syarikat (AS) dengan Iran, pasaran kewangan global masih memberikan tumpuan pada prospek kadar dasar yang lebih tinggi di AS berikutan peningkatan risiko inflasi.
Menurut FMC, kekuatan asas makroekonomi Malaysia kekal tidak berubah sebagaimana yang ditunjukkan menerusi beberapa petunjuk positif seperti prestasi perdagangan yang lebih baik daripada jangkaan dan kadar inflasi yang stabil.
FMC turut mengambil maklum mengenai aliran keluar pelaburan bukan pemastautin, namun menyifatkan keadaan tersebut sebagai pelarasan peruntukan portfolio selepas prestasi ringgit yang kukuh pada awal tahun.
FMC menjelaskan bahawa tumpuan pelabur terhadap pilihan raya negeri yang diumumkan turut mendorong pelabur bukan pemastautin mengambil pendekatan yang lebih neutral dalam pengurusan portfolio mereka. Keadaan itu menyebabkan ringgit mengalami pembetulan pasaran pada Jun dan menyusut berbanding dengan dolar AS.
Selain itu, prestasi ringgit turut dipengaruhi oleh peningkatan aktiviti lindung nilai berikutan pengukuhan dolar AS apabila pasaran menjangkakan kadar faedah yang lebih tinggi di negara tersebut pada akhir tahun ini.
Aktiviti pengimbangan semula portfolio ekuiti susulan semakan Indeks MSCI pada Mei lalu yang menyaksikan enam ekuiti Malaysia dikeluarkan daripada Indeks MSCI Malaysia turut menyumbang kepada perkembangan tersebut.
Walau bagaimanapun, FMC mendapati pasaran pertukaran asing tempatan kekal berfungsi dengan baik. Purata perolehan harian pasaran pertukaran asing meningkat kepada USD21.3 bilion pada tahun ini berbanding dengan USD19.8 bilion pada tahun 2025 didorong oleh aliran dua hala yang seimbang. Aktiviti pertukaran asing dalam kalangan syarikat korporat juga kekal selaras dengan jangkaan pasaran.
Jawatankuasa itu menjangkakan perkembangan luaran dan faktor domestik akan terus mempengaruhi prestasi ringgit pada masa hadapan. Namun demikian, profil ekonomi Malaysia yang kukuh diyakini mampu terus menyokong mata wang negara dan memperkukuh keyakinan pelabur terhadap prospek ekonomi negara.
Dalam mesyuarat tersebut, Bank Negara Malaysia (BNM) menegaskan komitmennya untuk terus memantau perkembangan pasaran kewangan secara rapi bagi memastikan keadaan pasaran kekal teratur.
Pada masa yang sama, bank pusat itu akan meneruskan dan mempergiat usaha menggalakkan aliran masuk dana menerusi Program Syarikat Pelabur Pemastautin yang Berkelayakan (QRI), selain memperkukuh sesi libat urus dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat korporat bagi menggalakkan penghantaran pulang dan penukaran pendapatan syarikat ke dalam negara.