Diterbitkan pada 23 Jun 2026, 14:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Malaysia dan Bangladesh bersetuju memperkukuh kerjasama ekonomi dua hala menerusi pelaksanaan perjanjian perdagangan bebas (FTA), peningkatan aliran perdagangan dan pelaburan, serta penerokaan kerjasama baharu dalam sektor berteknologi tinggi seperti semikonduktor, kecerdasan buatan (AI), ekonomi digital dan tenaga.

Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata, kedua-dua negara perlu memanfaatkan potensi besar yang dimiliki bagi mengembangkan kerjasama ekonomi dalam bidang baharu yang mampu menjana nilai tambah lebih tinggi kepada kedua-dua negara.

Menurut beliau, perbincangan antara kedua-dua pemimpin memberikan tumpuan kepada usaha memperluas hubungan ekonomi melalui FTA dan kerjasama yang lebih menyeluruh dalam pelbagai sektor strategik.

Ujar beliau,

Kita perlu meningkatkan hubungan melalui FTA dan kerjasama yang lebih komprehensif merentasi pelbagai bidang, bukan sahaja dalam perdagangan dan pelaburan, tetapi juga dalam bidang penyelidikan, sains, teknologi baharu, semikonduktor dan AI kerana inilah cabaran dan peluang masa hadapan.

YAB Dato’ Seri Anwar berkata, Bangladesh merupakan sebuah negara yang mempunyai potensi ekonomi besar dan Malaysia perlu meningkatkan perdagangan dan pelaburan dua hala dalam sektor baharu yang mampu mempercepat pembangunan ekonomi kedua-dua negara.

Selain perdagangan dan pelaburan, kedua-dua pemimpin turut membincangkan kerjasama pembangunan modal insan, serta pengurusan tenaga kerja asing yang lebih telus dan adil. YAB Dato’ Seri Anwar menegaskan bahawa keperluan terhadap tenaga kerja asing perlu diseimbangkan dengan perlindungan kebajikan pekerja.

Sementara itu, Perdana Menteri Bangladesh, TYT Tarique Rahman berkata, kerajaan pimpinannya sedang memberikan tumpuan kepada penciptaan pekerjaan, menarik pelaburan asing dan mempercepat pertumbuhan ekonomi negara selepas memperoleh mandat dalam pilihan raya pada Februari 2026.

Beliau berkata, Bangladesh sedang membangunkan persekitaran perniagaan yang lebih kondusif dan melihat peluang besar untuk syarikat Malaysia melabur dalam pelbagai sektor pertumbuhan baharu.

Ujar beliau,

Saya melihat potensi yang kukuh untuk pelaburan Malaysia di Bangladesh dan menggalakkan komuniti perniagaan Malaysia meneroka peluang tersebut.

Menurut beliau, perbincangan kedua-dua pemimpin turut merangkumi kerjasama dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), infrastruktur, tenaga, industri halal, pendidikan, pembangunan kemahiran, ekonomi digital, semikonduktor dan sektor bernilai tinggi yang lain.

TYT Tarique turut menyambut baik persetujuan kedua-dua negara untuk memperkukuh perdagangan dua hala dan meneruskan rundingan ke arah memeterai FTA Malaysia–Bangladesh.

Beliau turut menyifatkan pekerja, pelajar dan usahawan Bangladesh di Malaysia sebagai jambatan penting yang menghubungkan kedua-dua negara, selain menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan sosial kedua-dua pihak.

Lawatan rasmi Perdana Menteri Bangladesh ke Malaysia dijangka membuka lembaran baharu dalam hubungan ekonomi dua hala, khususnya dalam usaha memperluas perdagangan, meningkatkan pelaburan rentas sempadan dan memperkukuh kerjasama dalam sektor ekonomi masa hadapan yang berteraskan teknologi dan inovasi.

Kredit Foto: Jabatan Perdana Menteri
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi