Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangAshgabat – Kerjasama Malaysia dengan Turkmenistan dijangka memperkukuh kedudukan negara dalam sektor tenaga global menerusi pemeteraian perjanjian rangka kerja bagi pembangunan sumber hidrokarbon, sekali gus memperluas hubungan strategik dan kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara.
Menteri Ekonomi, YB Tuan Haji Akmal Nasrullah Haji Mohd. Nasir menyertai delegasi Malaysia yang diketuai Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim ke Turkmenistan dari 18 Jun hingga 19 Jun 2026 bagi memeterai Perjanjian Rangka Kerja antara Kerajaan Malaysia dengan Kerajaan Turkmenistan mengenai Kerjasama Jangka Panjang dalam Pembangunan Sumber Hidrokarbon di Turkmenistan.
Perjanjian berkenaan bertujuan memperkukuh hubungan ekonomi dua hala dan membuka ruang kepada kerjasama yang lebih meluas dalam sektor tenaga. Inisiatif itu juga dijangka meningkatkan pelibatan Malaysia dalam pembangunan industri tenaga antarabangsa yang semakin berkembang.
Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) yang telah beroperasi di Turkmenistan sejak tahun 1996 dan merupakan antara pelabur antarabangsa terawal dalam sektor tenaga negara itu turut menyatakan minat untuk mengambil bahagian dalam pembangunan Fasa 3 Medan Gas Galkynysh yang diiktiraf sebagai antara medan gas terbesar di dunia.
Pelaksanaan perjanjian rangka kerja tersebut akan disokong melalui beberapa perjanjian komersial yang melibatkan entiti dari Turkmenistan dan Malaysia yang diwakili oleh anak syarikat PETRONAS. Skop kerjasama yang dirancang bukan sahaja melibatkan pembangunan Medan Gas Galkynysh, serta penerokaan blok minyak dan gas di Laut Kaspia, malah turut merangkumi aktiviti pemprosesan minyak, gas asli dan produk petrokimia.
Kerjasama strategik ini diyakini dapat mengukuhkan hubungan Malaysia dan Turkmenistan, di samping meningkatkan kerjasama dua hala dalam sektor tenaga. Langkah tersebut juga berpotensi memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai pemain tenaga yang berpengaruh pada peringkat global dan menjana nilai ekonomi yang lebih besar kepada negara.
Selain meningkatkan pulangan PETRONAS, kerjasama itu dijangka membuka peluang kepada syarikat tempatan dan penyedia perkhidmatan Malaysia untuk menyertai rantaian nilai industri tenaga global. Pelibatan yang lebih meluas dalam projek tenaga berskala besar ini turut berpotensi meningkatkan daya saing industri tempatan dan memperluas peluang perniagaan dalam pasaran antarabangsa.
Pencapaian tersebut membuktikan Malaysia berada pada landasan yang tepat dalam melaksanakan anjakan strategik dan penstrukturan semula ekonomi ke arah sektor pertumbuhan baharu. Usaha berterusan ini selaras dengan aspirasi Ekonomi MADANI untuk mewujudkan pertumbuhan ekonomi yang mampan, inklusif dan berdaya tahan demi kesejahteraan rakyat.