Diterbitkan pada 11 Jun 2026, 10:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Harga runcit petrol dan diesel di negara ini dikekalkan bagi tempoh 11 Jun hingga 17 Jun 2026 selaras dengan formula Automatic Pricing Mechanism (APM), manakala tanggungan subsidi kerajaan bagi kedua-dua bahan api tersebut masih diunjurkan tinggi pada kadar sekitar RM3.5 bilion sebulan.

Menurut Kementerian Kewangan (MoF), keputusan mengekalkan harga runcit bahan api dibuat berdasarkan pergerakan purata harga pasaran antarabangsa pada minggu sebelumnya. Bagi tempoh berkenaan, harga RON97 dikekalkan pada RM4.35 seliter, RON95 pada RM3.72 seliter dan diesel di Semenanjung Malaysia pada RM4.67 seliter.

MoF memaklumkan bahawa subsidi bulanan bagi RON95 dan diesel yang dianggarkan sekitar RM700 juta pada Januari 2026 meningkat secara ketara susulan krisis di Asia Barat. Jumlah subsidi tersebut melonjak hampir RM5 bilion sebulan pada Mac sebelum memuncak kepada RM7.5 bilion pada April 2026 apabila harga minyak mentah Brent mencecah USD120 setong.

Walaupun harga minyak mentah Brent kini menyederhana kepada sekitar USD90 setong, kerajaan masih menanggung subsidi yang besar berdasarkan harga pasaran semasa. Daripada jumlah RM3.5 bilion sebulan yang diunjurkan, sekitar RM2 bilion diperuntukkan bagi subsidi RON95, manakala RM1.5 bilion lagi untuk subsidi diesel.

Menurut MoF, pasaran petroleum global menunjukkan trend yang lebih stabil dalam beberapa minggu kebelakangan ini. Namun demikian, pasaran antarabangsa masih dipengaruhi faktor ketidaktentuan bekalan fizikal, tahap inventori global dan permintaan bermusim di beberapa rantau utama dunia.

MoF turut menjelaskan bahawa bekalan petroleum negara ketika ini berada pada tahap stabil dan mencukupi hasil daripada perancangan bekalan yang telah disusun bagi menjamin kelangsungan bekalan untuk tempoh akan datang.

Pada masa yang sama, Kerajaan MADANI terus memperkukuh langkah menjamin keselamatan bekalan tenaga jangka masa panjang dan melaksanakan subsidi bersasar ketika ketidaktentuan global masih berterusan.

Bagi bahan api bersubsidi, harga RON95 di bawah program BUDI MADANI dikekalkan pada RM1.99 seliter untuk lebih daripada 14 juta penerima yang layak. Harga diesel bersubsidi di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan, serta di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) turut dikekalkan pada RM2.15 seliter, manakala petrol di bawah Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) kekal pada RM2.05 seliter.

MoF menjelaskan bahawa pada harga pasaran RON95 sebanyak RM3.72 seliter, penggunaan 200 liter sebulan akan menelan kos RM744. Namun begitu, penerima BUDI MADANI hanya perlu membayar RM398 sebulan bagi penggunaan yang sama, sekali gus menikmati penjimatan sekitar RM346 sebulan.

Selain itu, harga diesel tanpa subsidi sebanyak RM4.67 seliter adalah lebih daripada dua kali ganda berbanding dengan harga diesel bersubsidi RM2.15 seliter, sekali gus membantu mengurangkan tekanan kos pengangkutan awam dan logistik barangan pengguna.

Kerajaan menegaskan komitmennya untuk terus melindungi kebajikan rakyat melalui pendekatan yang seimbang antara penyediaan subsidi dengan pengurusan kewangan negara yang berhemah, di samping memastikan bekalan bahan api negara kekal terjamin.

Rakyat juga digalakkan menggunakan bahan api secara lebih cekap dan berhemah menerusi perancangan perjalanan yang lebih baik dan mengurangkan pembaziran penggunaan bahan api bagi memperkukuh daya tahan negara menghadapi cabaran ekonomi global.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi