Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa peralihan kepada sumber tenaga boleh baharu perlu dipercepat bagi menjamin keselamatan tenaga negara dan rantau ini dalam menghadapi cabaran geopolitik dan perkembangan teknologi global yang semakin pesat.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Energy Transition Conference (ETCon) 2026, sebuah platform yang menghimpunkan penggiat industri tenaga dari dalam dan luar negara untuk bertukar pandangan, berkongsi kepakaran dan meneroka pendekatan strategik dalam memperkukuh pembangunan sektor tenaga yang mampan.

Menurut beliau, dunia kini sedang berdepan dengan perubahan besar yang menuntut setiap negara mengambil langkah lebih berani dan proaktif dalam merancang masa hadapan sektor tenaga masing-masing.
“Krisis yang berlarutan di Timur Tengah memperlihatkan bahawa dunia tidak lagi boleh bergantung sepenuhnya pada bahan api fosil. Sebaliknya usaha mempercepat peralihan kepada sumber tenaga boleh baharu yang lebih bersih, mampan dan berdaya tahan perlu diperkasakan,” jelas beliau.
Beliau menjelaskan bahawa keperluan terhadap bekalan tenaga yang stabil semakin meningkat sejajar dengan perkembangan teknologi moden dan proses globalisasi yang terus berkembang.
Katanya, pertumbuhan pesat pusat data yang menjadi tunjang kepada pembangunan kecerdasan buatan (AI), ekonomi digital dan industri semikonduktor menjadikan agenda peralihan tenaga sebagai antara keutamaan strategik bagi banyak negara.
“Pembangunan teknologi masa hadapan memerlukan bekalan tenaga yang mencukupi dan boleh dipercayai. Oleh itu, usaha memperkukuh sistem tenaga negara perlu dilaksanakan secara menyeluruh bagi menyokong pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan daya saing negara,” ujar beliau.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan komitmen Malaysia untuk menjayakan inisiatif ASEAN Power Grid yang dilihat mampu memperkukuh kerjasama serantau dalam pembangunan dan perkongsian sumber tenaga secara lebih bersepadu.
Menurutnya, projek tersebut bukan sahaja dapat meningkatkan kecekapan pengurusan tenaga di rantau Pertubuhan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN), malah membantu memastikan bekalan tenaga yang lebih stabil dan terjamin demi manfaat bersama negara anggota.
Persidangan ETCon 2026 dilihat sebagai platform penting dalam memperkukuh kerjasama antara kerajaan dengan industri dan pakar tenaga bagi mempercepat usaha peralihan tenaga dan merealisasikan pembangunan ekonomi yang lebih mampan pada masa hadapan.