Diterbitkan pada 10 Jun 2026, 12:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Tokyo – Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan enam syarikat utama Jepun dan antarabangsa bagi meneroka peluang pelaburan baharu dan memperkukuh kerjasama ekonomi dalam sektor strategik yang dijangka menjadi pemacu pertumbuhan masa hadapan negara.

Syarikat yang terlibat ialah IBM Corporation, Mitsubishi Corporation, ENEOS Corporation, Shizen Energy Inc., DENSO Corporation dan Marubeni Corporation. Kesemua syarikat tersebut tersebut merupakan antara pemain utama dunia dalam bidang kecerdasan buatan (AI), teknologi perkomputeran termaju, automotif berteknologi tinggi, tenaga, infrastruktur dan tenaga boleh baharu.

Dalam pertemuan itu, perbincangan tertumpu pada potensi kerjasama dalam pelbagai sektor strategik seperti tenaga, industri halal, AI, pusat data, teknologi digital dan pembangunan industri masa hadapan yang mampu menyokong pertumbuhan ekonomi negara.

Menurut YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim , kerjasama strategik seperti ini amat penting ketika dunia berdepan dengan cabaran rantaian bekalan dan ketidaktentuan pasaran tenaga global.

Jelas beliau, “Fokus kita adalah untuk menarik lebih banyak pelaburan berkualiti, memperkasakan ekosistem berteknologi tinggi negara, mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi untuk rakyat dan memperkukuh hubungan ekonomi Malaysia-Jepun yang telah terjalin sejak sekian lama”.

Beliau berkata, usaha menarik pelaburan berimpak tinggi akan membantu mempercepat transformasi ekonomi negara ke arah industri berasaskan teknologi dan inovasi, sekali gus meningkatkan daya saing Malaysia pada peringkat serantau dan global.

Selain mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, pelaburan dalam sektor AI, pusat data dan teknologi digital turut dilihat mampu mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab teknologi yang semakin berkembang di rantau Asia Tenggara.

Perdana Menteri turut menyifatkan keyakinan yang ditunjukkan oleh syarikat terkemuka Jepun terhadap Malaysia sebagai petanda positif bagi prospek ekonomi negara.

Menurut beliau, keyakinan tersebut mencerminkan kedudukan Malaysia yang semakin diyakini sebagai destinasi pelaburan strategik di rantau ini, khususnya dalam sektor yang bakal memacu pertumbuhan ekonomi masa hadapan.

Pertemuan tersebut turut mencerminkan komitmen berterusan Malaysia dan Jepun untuk memperkukuh hubungan ekonomi dua hala yang telah terjalin lama, khususnya dalam bidang teknologi, tenaga dan pembangunan industri berimpak tinggi.

Kredit Foto: YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi