Diterbitkan pada 11 Jun 2026, 09:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Tokyo – Bank Rakyat memperkukuhkan usaha pengantarabangsaan syarikat tempatan menerusi program “Bank Rakyat BizMatch: Hebatkan Perniagaan Malaysia” yang diadakan bersempena dengan Forum Nikkei Future of Asia 2026 di Tokyo, Jepun.

Program padanan perniagaan itu menghimpunkan tujuh syarikat Malaysia bersama-sama pelabur, peneraju industri dan rakan strategik dari Jepun, serta negara Asia bagi meneroka peluang kerjasama rentas sempadan, akses pasaran antarabangsa dan potensi pelaburan.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YB Steven Sim Chee Keong berkata, inisiatif tersebut selaras dengan usaha memperluas pasaran usahawan tempatan, serta meningkatkan daya saing mereka pada peringkat global.

Sementara itu, Pengerusi Bank Rakyat, YBhg. Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak berkata, syarikat yang terlibat mewakili sektor strategik seperti keselamatan makanan, akuakultur, tenaga boleh baharu, teknologi hijau, minyak sawit, peruncitan dan pembuatan yang berpotensi menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi masa hadapan.

Menurut beliau, program itu memberikan peluang kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) untuk mengembangkan rangkaian perniagaan, menarik pelaburan, serta menembusi pasaran antarabangsa.

Bank Rakyat turut menegaskan komitmennya untuk menyokong pertumbuhan usahawan melalui pembiayaan, khidmat nasihat strategik, pemudahcaraan pasaran, pendigitalan dan platform rangkaian antarabangsa selaras dengan agenda memperkukuh daya saing global perniagaan Malaysia.

Program ini turut dihadiri oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Kredit Foto: Bank Rakyat
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi