Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangShah Alam – Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH) akan menganjurkan Karnival Pelancongan Islam PAPUH Muslim Travel Fair 2026 pada 31 Julai hingga 2 Ogos 2026 di Kompleks PKNS Shah Alam.
Presiden PAPUH, YBhg. Dato’ Sri Haji Razali Mohd. Sham berkata, penganjuran karnival itu bertujuan meningkatkan kesedaran pengguna supaya mendapatkan perkhidmatan umrah, haji dan pelancongan daripada syarikat yang berdaftar serta berlesen, sekali gus mengurangkan risiko menjadi mangsa penipuan pakej pelancongan.
Menurut beliau, karnival tersebut bukan sekadar platform jualan, malah berperanan sebagai medium pendidikan pengguna mengenai hak pelanggan dan kepentingan memilih agensi pelancongan yang sah.
Karnival itu akan menghimpunkan pelbagai pemain industri termasuk agensi pelancongan, pengendali umrah dan haji, syarikat penerbangan, pengusaha hotel, institusi kewangan Islam, serta penyedia teknologi pelancongan.
Sepanjang tiga hari penganjuran, pengunjung berpeluang mendapatkan pelbagai tawaran pakej umrah, haji dan pelancongan domestik serta antarabangsa, selain mengikuti sesi perkongsian ilmu, konsultasi pelancongan dan promosi khas.
PAPUH menyasarkan penyertaan lebih daripada 100 buah syarikat dan organisasi, serta kehadiran ribuan pengunjung dari seluruh negara.
Penganjuran di Kompleks PKNS Shah Alam juga menjadi permulaan kepada siri jerayawara PAPUH Muslim Travel Fair yang dijadualkan diperluas ke beberapa negeri lain bagi memperkukuh ekosistem pelancongan Islam dan pelancongan mesra Muslim di Malaysia.
