Diterbitkan pada 5 Jun 2026, 16:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Encorp Berhad (ENCORP), kumpulan pembangunan hartanah yang terlibat dalam sektor pembinaan, pelaburan hartanah dan pengurusan fasiliti, memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) bagi melaksanakan reka bentuk dan pembinaan perumahan untuk kakitangannya.

Majlis menandatangani MoU yang berlangsung di Menara FELDA itu disempurnakan oleh Pengarah Besar FELDA, YBhg. Dato’ Dr. Suzana Idayu Wati Osman dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ENCORP, YBrs. Encik Ahmad Harzimi Mohd. Taib. Majlis tersebut turut disaksikan oleh Pengerusi FELDA, YBhg. Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek dan Pengerusi ENCORP, YBrs. Encik Mohd. Yusmadi Mohd. Yusoff.

Melalui kerjasama tersebut, ENCORP dijangka dilantik sebagai kontraktor utama bagi mereka bentuk dan membina projek berkenaan, tertakluk pada kelulusan, serta pemeteraian perjanjian muktamad oleh kedua-dua pihak.

Inisiatif itu mencerminkan komitmen FELDA dalam meningkatkan kebajikan tenaga kerjanya menerusi penyediaan kediaman yang lebih selesa, praktikal dan kondusif. Langkah tersebut juga dijangka menyokong produktiviti kakitangan di samping memperkukuh infrastruktur sosial organisasi.

Menurut Ahmad Harzimi, ENCORP berbesar hati menerima kepercayaan FELDA untuk menyumbang kepakaran dalam sektor pembinaan dan pembangunan hartanah.

“Kami komited untuk menyediakan kediaman yang moden, terancang dan berkualiti bagi memenuhi keperluan warga kerja FELDA,” katanya.

Kerjasama itu turut memperkukuh kedudukan ENCORP dalam segmen pembangunan hartanah berasaskan komuniti, selaras dengan pengalaman syarikat menerusi anak syarikatnya, Encorp Development Sdn. Bhd.

Sebelum ini, syarikat tersebut berjaya menyiapkan Fasa 1 Lamanda Chuping pada tahun 2024 yang melibatkan pembinaan 224 unit rumah kos rendah dan sederhana untuk peneroka, serta generasi FELDA, selain 17 unit premis komersial.

Dengan portfolio pembangunan sedia ada seperti Tilia Shah Alam dan perancangan fasa seterusnya bagi Lamanda Chuping, ENCORP menyasarkan untuk menerapkan standard pembangunan yang sama dalam projek perumahan kakitangan FELDA.

Sementara itu, Ahmad Shabery berkata, projek berkenaan penting bagi meningkatkan motivasi dan kesejahteraan kakitangan FELDA yang selama ini mendiami kuarters lama.

“Berbanding dengan kediaman peneroka yang lebih selesa, sebahagian kediaman pegawai FELDA telah berusia antara 50 tahun hingga 60 tahun dan memerlukan pembaharuan,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa projek perintis yang melibatkan pembinaan 189 unit kediaman itu akan dibiayai sepenuhnya oleh FELDA menerusi dana yang telah diperuntukkan, sekali gus tidak terkesan oleh ketidaktentuan ekonomi global semasa.

Mohd. Yusmadi pula berkata, ENCORP bersedia membuktikan keupayaannya sebagai kontraktor pembangunan yang berpengalaman melalui pelaksanaan projek tersebut.

Menurut beliau, rekod syarikat dalam menyiapkan pelbagai projek perumahan, termasuk perumahan guru di seluruh negara, menjadi asas keyakinan untuk menjayakan pembangunan perumahan kakitangan FELDA mengikut spesifikasi dan tempoh yang ditetapkan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi