Diterbitkan pada 29 Mei 2026, 16:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kementerian Kewangan (MoF) memberikan amaran keras terhadap penggunaan MyKad milik individu lain tanpa kebenaran bagi tujuan transaksi di bawah program BUDI MADANI RON95 (BUDI95).

Hal ini susulan beberapa aduan yang diterima berhubung dengan dakwaan penyalahgunaan maklumat pengenalan diri untuk mendapatkan manfaat subsidi bersasar tersebut.

Menurut MoF, penggunaan atau pemilikan MyKad milik orang lain tanpa kuasa yang sah merupakan satu kesalahan serius di bawah Peraturan 25 Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990. Individu yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda hingga RM20,000 atau dipenjarakan hingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.

Sehubungan dengan itu, kementerian menegaskan bahawa tiada mana-mana pihak dibenarkan menggunakan nombor atau maklumat MyKad milik individu lain tanpa kebenaran bagi mendapatkan manfaat subsidi BUDI95. Tindakan sedemikian bukan sahaja melanggar undang-undang, malah boleh menjejaskan integriti dan keberkesanan pelaksanaan program subsidi bersasar kerajaan.

Bagi memperkukuh kawalan dan pematuhan, MoF telah mengarahkan syarikat peruncit minyak supaya memperketat pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) pengesahan MyKad bagi setiap transaksi BUDI95.

Kementerian turut menegaskan bahawa sebarang urus niaga yang dilakukan secara manual tanpa pengesahan fizikal MyKad terlebih dahulu adalah tidak dibenarkan kerana berpotensi membuka ruang kepada transaksi tanpa kebenaran dan penyalahgunaan subsidi.

Pada masa yang sama, syarikat peruncit minyak diarahkan menjalankan siasatan lanjut terhadap transaksi yang dikenal pasti melanggar SOP dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap stesen minyak yang terlibat. Pemantauan dalaman juga akan diperkukuh bagi memastikan pematuhan berterusan di semua stesen minyak.

MoF memaklumkan bahawa beberapa langkah pembetulan telah dilaksanakan, termasuk latihan semula kepada kakitangan barisan hadapan, pemaparan SOP di kaunter pembayaran, serta pemberian notis dan pampasan yang bersesuaian kepada pelanggan yang terkesan, tertakluk pada hasil siasatan. Selain itu, syarikat peruncit minyak turut diarahkan menghubungi pemegang MyKad yang terlibat bagi membincangkan perkara tersebut dengan lebih lanjut.

Dalam pada itu, penerima BUDI95 digalakkan menyemak rekod transaksi masing-masing melalui portal BUDI95 dan segera membuat laporan polis sekiranya mendapati terdapat transaksi yang dilakukan tanpa kebenaran mereka.

Penerima yang terkesan boleh mengemukakan aduan kepada Pusat Khidmat BUDI MADANI (BMCC) dalam tempoh 30 hari selepas kejadian dengan mengemukakan laporan polis yang menyatakan tarikh, masa dan butiran stesen minyak berkaitan dengannya, salinan kad pengenalan, serta senarai transaksi yang dilaporkan.

Aduan boleh dibuat melalui talian 1300-88-9595, WhatsApp menerusi +603-26314595 atau e-mel kepada [email protected]. BMCC beroperasi 24 jam sehari dan tujuh hari seminggu bagi membantu orang ramai berkaitan dengan urusan program tersebut.

MoF turut menggesa orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak berkongsi maklumat MyKad dengan mana-mana pihak bagi tujuan transaksi subsidi. Orang ramai juga dinasihatkan agar hanya merujuk saluran rasmi kementerian dan portal BUDI MADANI untuk mendapatkan maklumat yang tepat dan sahih.

Kementerian menegaskan bahawa pihaknya akan terus memantau corak transaksi BUDI95 di seluruh negara dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang ketidakpatuhan SOP atau penyalahgunaan subsidi bersasar.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi