Diterbitkan pada 1 Jun 2026, 09:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sebanyak 11 institusi kewangan dan syarikat penyedia sewa beli bersedia menawarkan pembiayaan berdasarkan Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026 yang mula dikuatkuasakan pada 1 Jun 2026.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, YBhg. Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, pelaksanaan akta tersebut bertujuan memperkukuh perlindungan pengguna, serta mewujudkan sistem pembiayaan sewa beli yang lebih adil, telus dan berdaya saing.

Menurut beliau, institusi kewangan dan syarikat sewa beli yang masih menyesuaikan sistem diberi tempoh peralihan sehingga 31 Mac 2027, manakala fasa kedua pelaksanaan dijadualkan bermula pada September 2026.

Antara reformasi utama yang diperkenalkan termasuklah pemansuhan kadar faedah tetap sama rata dan kaedah Peraturan 78 yang sebelum ini sering dikaitkan dengan baki pinjaman yang tinggi walaupun pengguna membuat penyelesaian awal.

Sebagai gantinya, kaedah Pengurangan Baki dan Kadar Faedah Efektif diperkenalkan bagi memastikan faedah dikira berdasarkan baki pinjaman semasa, sekali gus menjadikan penyelesaian awal pinjaman lebih telus dan mengurangkan beban pengguna.

Pindaan tersebut turut membenarkan penggunaan tandatangan, serta penyerahan dokumen secara digital, selain memperkenalkan keperluan pengesahan identiti peminjam bagi mengurangkan risiko penipuan.

Menurut Datuk Armizan, reformasi undang-undang itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan memperkukuh ekosistem kredit pengguna, meningkatkan tadbir urus industri dan melindungi kepentingan pengguna.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi