Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSuzhou – Malaysia menegaskan komitmennya untuk memperkukuh kerjasama perdagangan serantau dan global semasa Mesyuarat Menteri-Menteri Perdagangan Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) di China yang disertai melalui Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Delegasi Malaysia diketuai oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, YB Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Dalam mesyuarat tersebut, Malaysia menyatakan sokongan terhadap sistem perdagangan pelbagai hala yang terbuka, telus dan berasaskan peraturan dengan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) kekal sebagai teras utama.
Malaysia turut memperjuangkan pengukuhan kerjasama serantau dalam bidang perdagangan digital, kecerdasan buatan (AI), kemampanan, keselamatan tenaga, serta pembangunan rantaian bekalan yang lebih berdaya tahan.
Selain itu, Malaysia menekankan kepentingan memastikan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) turut memperoleh manfaat daripada pendigitalan dan peralihan ke arah ekonomi hijau menerusi pendekatan yang praktikal, inklusif dan mesra perniagaan.
Di sela-sela mesyuarat berkenaan, YB Datuk Seri Johari turut mengadakan beberapa pertemuan dua hala dengan rakan sejawat dari China, Amerika Syarikat, New Zealand, Australia, Republik Korea, Jepun dan Singapura. Beliau juga mengadakan sesi libat urus bersama-sama US-APEC Business Coalition dan syarikat yang mempunyai pelaburan di Malaysia.
Pertemuan dan sesi libat urus tersebut memberikan tumpuan pada usaha memperkukuh hubungan perdagangan dan pelaburan, memperluas kerjasama dalam sektor strategik, serta mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang kompetitif, diyakini dan mesra perniagaan di rantau Asia Pasifik.