Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) terus memperkukuh hubungan perdagangan dan kerjasama pertanian dengan New Zealand.
Usaha memperkukuh hubungan dua hala ini dilakukan melalui kunjungan hormat Pesuruhjaya Tinggi New Zealand ke Malaysia, TYT Michael Walsh kepada Ketua Setiausaha KPKM, YBhg. Datuk Seri Isham Ishak pada semalam.
Pertemuan tersebut merupakan kesinambungan kepada sesi perbincangan terdahulu yang berlangsung pada September 2025 bagi mempererat hubungan perdagangan pertanian dua hala antara kedua-dua negara.
Hingga Disember 2025, nilai perdagangan pertanian antara Malaysia dengan New Zealand direkodkan sebanyak RM5.57 bilion. Eksport Malaysia merangkumi bahan makanan ternakan, manakala import utama dari New Zealand terdiri daripada produk tenusu yang menyumbang kira-kira 75 peratus daripada keseluruhan perdagangan dua hala sektor tersebut.
Malaysia dan New Zealand turut mengekalkan kerjasama erat melalui pelbagai platform serantau dan pelbagai hala, termasuk Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia–New Zealand (MNZFTA) dan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN–Australia–New Zealand (AANZFTA). Kedua-dua negara juga dijadualkan meraikan ulang tahun ke-70 hubungan diplomatik pada tahun 2027.
Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua pihak menyatakan komitmen untuk mempertingkatkan kerjasama dalam menghadapi cabaran krisis bekalan bahan api dan ketidaktentuan rantaian bekalan makanan global. Kerjasama strategik itu dijangka memberikan manfaat kepada kedua-dua negara, khususnya dalam sektor input pertanian kritikal seperti baja, produk susu dan bijirin.
Malaysia turut menyatakan keyakinan terhadap sistem kawal selia New Zealand bagi produk pertanian, selain menggalakkan perkongsian kepakaran dalam bidang berkaitan dengannya.
New Zealand juga menawarkan peluang pembangunan kapasiti kepada pegawai KPKM menerusi biasiswa ASEAN–New Zealand Manaaki, di samping kerjasama sedia ada di bawah Jawatankuasa Sanitari dan Fitosanitari (SPS) MNZFTA.
YBhg. Datuk Seri Isham Ishak turut menjemput pihak New Zealand untuk menyertai Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 yang akan berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) dari 28 Ogos 2026 hingga 6 September 2026 dengan tema “Penciptaan Nilai Demi Keterjaminan Makanan”.
Yang turut hadir dalam sesi kunjungan hormat tersebut ialah pegawai kanan KPKM.