Diterbitkan pada 25 Mei 2026, 16:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kerajaan memberikan jaminan akan terus memperkukuh langkah mitigasi dan memantau pasaran secara teliti bagi mendepani implikasi krisis bekalan global yang kini memberikan kesan langsung terhadap harga tenaga dan makanan domestik.

Situasi geopolitik global, serta ketegangan di laluan strategik Selat Hormuz yang masih belum pulih sepenuhnya terus meletakkan pasaran tenaga antarabangsa dalam keadaan tidak menentu, sekali gus menyumbang kepada peningkatan kos pengangkutan dan harga barangan semasa.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Menteri Ekonomi, YB Akmal Nasrullah Mohd Nasir ketika menyampaikan taklimat mengenai krisis bekalan global menerusi siaran langsung Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), petang tadi.

Laporan mingguan bagi tempoh 18 hingga 22 Mei 2026 menunjukkan purata harga minyak mentah Brent terus meningkat melebihi paras USD100 setong dengan kenaikan 1.7 peratus kepada USD111.67 setong berbanding dengan USD109.85 setong pada minggu sebelumnya.

Namun begitu, Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) memaklumkan bahawa Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) memberikan jaminan stok bekalan minyak negara mencukupi sehingga hujung Julai 2026.

Sementara itu, harga gas asli cecair (LNG) berdasarkan penanda aras Japan Korea Marker (JKM) melonjak 6.7 peratus kepada USD19.06 juta BTU akibat tekanan permintaan serantau, manakala harga arang batu meningkat secara marginal sebanyak 0.7 peratus kepada USD132.29 satu tan metrik.

Di sebalik kenaikan kos bahan api, permintaan maksimum tenaga elektrik negara yang meningkat 3.62 peratus kepada 21,319 megawatt (MW) masih berada pada tahap terkawal dan di bawah had maksimum sistem sebanyak 21,469 MW.

Dalam taklimat tersebut, Akmal Nasrullah berkata, ketidaktentuan pasaran global turut memberikan kesan terhadap pasaran kewangan tempatan apabila Indeks FBM KLCI merekodkan penyusutan 1.58 peratus atau turun 27.55 mata kepada 1,712.67 mata bagi minggu berakhir 22 Mei 2026.

Namun begitu, sektor pertanian dan perladangan terus berperanan sebagai penampan ekonomi negara. Bagi Suku Pertama 2026, sektor tersebut mencatatkan pertumbuhan 2.6 peratus dengan sumbangan sebanyak RM24.4 bilion atau 5.6 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Prestasi positif ini didorong oleh pertumbuhan subsektor kelapa sawit sebanyak 5.5 peratus, subsektor ternakan 8.7 peratus, serta peningkatan kecekapan produktiviti pekerja sebanyak 3.6 peratus,” katanya.

Bagi aspek kos sara hidup, pemantauan kerajaan mendapati harga makanan domestik bagi tempoh 18 hingga 21 Mei 2026 kekal stabil dalam julat pergerakan antara negatif dua peratus hingga 3.6 peratus.

“Harga ayam direkodkan pada RM9.57 sekilogram, daging lembu turun dua peratus kepada RM38.45 sekilogram, manakala harga sawi meningkat 3.6 peratus kepada RM7.08 sekilogram,” katanya lagi.

Menyentuh pasaran buruh, beliau memaklumkan sebanyak 7,053 pekerja kehilangan pekerjaan pada April 2026, meningkat berbanding dengan 5,855 orang pada bulan Mac. Walau bagaimanapun, jumlah tersebut menunjukkan trend penurunan berbanding dengan awal tahun, iaitu 10,658 orang pada bulan Januari dan 7,512 orang pada bulan Februari.

Dalam sektor logistik, aktiviti maritim negara kekal kompetitif dengan pengendalian kargo harian meningkat 8.3 peratus kepada 848.9 ribu freight weight tonne (FWT), manakala pengendalian kontena meningkat kepada 93.1 ribu unit bersamaan dengan dua puluh kaki (TEUs) setakat April 2026.

Sebaliknya, sektor penerbangan menerima kesan lebih ketara susulan peningkatan kos bahan api dan ketegangan geopolitik apabila pergerakan pesawat harian merosot 31.5 peratus kepada 2,464 pesawat berikutan pembatalan laluan Asia Barat. Pengendalian kargo udara antarabangsa turut menurun 14.3 peratus, manakala kargo domestik susut 18 peratus.

Dalam mesyuarat MTEN hari ini, Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) memaklumkan bahawa selepas mencatatkan nilai dagangan tinggi sebanyak RM271.64 bilion pada tahun 2025, eksport agrikomoditi bagi Suku Pertama 2026 menyusut 14.7 peratus kepada RM47.38 bilion.

Penyusutan tersebut membabitkan komoditi utama seperti sawit, getah, koko, lada dan kayu.

“Kejatuhan ini dipengaruhi oleh peningkatan kos logistik ke Asia Barat antara 50 peratus hingga 80 peratus, kenaikan premium risiko perang sebanyak tiga peratus, peningkatan kos operasi pengilangan, serta kenaikan harga input pertanian seperti baja NPK dan racun,” katanya.

Bagi melindungi pendapatan pengusaha dan pekebun kecil, kerajaan menerusi KPK melaksanakan enam langkah mitigasi utama, termasuk penyaluran bantuan tunai bersasar, pengurusan import input pertanian secara pukal, galakan penggunaan baja organik tempatan dan penyediaan kemudahan pembayaran balik levi, serta cukai eksport bagi kargo yang dipulangkan semula.

Selain itu, kerajaan turut memperluas penggunaan aplikasi Soil Nutrient Pro (SNP) bagi mengoptimumkan kos penanaman, serta memantau kecekapan operasi loji untuk mengurangkan kos pengeluaran.

Mesyuarat MTEN turut meneliti laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai keterjaminan bekalan perubatan negara setakat 8 Mei 2026 yang disahkan masih stabil dan mencukupi.

Bagi kategori ubat-ubatan, sebanyak 72 peratus item berada pada tahap risiko rendah, 11.3 peratus risiko sederhana dan 16.8 peratus dalam kategori risiko tinggi yang memerlukan langkah mitigasi berterusan berikutan kebergantungan terhadap sumber import.

Bagi peranti perubatan pula, sebanyak 81.3 peratus berada pada tahap risiko rendah, 13.5 peratus risiko sederhana dan hanya 4.8 peratus dikenal pasti berada pada tahap risiko tinggi.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi