Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur — Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia perlu memainkan peranan lebih besar dan berpengaruh dalam menentukan hala tuju dasar ekonomi serta aliran modal pada peringkat serantau, khususnya dalam konteks kedudukan negara dalam ASEAN.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pembukaan selaku pengerusi Forum Ilmuwan Malaysia MADANI Siri 12 bertemakan “Memacu Kedudukan Malaysia dalam Gelombang Baharu Aliran Modal Global” anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi melalui kerjasama Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) malam Jumaat lalu.
Menurut beliau, SC dan Bursa Malaysia perlu memikul tanggungjawab lebih besar bagi memperkukuh kedudukan Malaysia dalam ekosistem pasaran modal di rantau ini.
“SC dan Bursa Malaysia perlu meletakkan Malaysia dalam peranan yang lebih kritikal, berfungsi dan berpengaruh dalam menentukan dasar dan orientasi negara serta rantau ini,” katanya.
Pada masa yang sama, beliau turut menyifatkan prestasi makroekonomi negara ketika ini sebagai meyakinkan berdasarkan indikator semasa dan unjuran terkini Bank Negara Malaysia yang lebih positif berbanding jangkaan awal kerajaan.
Katanya, pencapaian ekonomi suku terakhir pada tahun lalu dan suku pertama pada tahun ini menunjukkan prestasi yang lebih baik daripada unjuran konservatif sebelum ini.
Namun begitu, beliau mengingatkan semua pihak agar tidak terjebak dalam “budaya cepat berpuas hati” atau culture of complacency yang boleh melemahkan keupayaan negara untuk terus maju.
Mengulas cabaran semasa, Perdana Menteri berkata bahawa kerajaan perlu lebih realistik dan terbuka dalam mendepani ketidaktentuan global serta ancaman ekonomi yang berpotensi menjejaskan rakyat.
Beliau turut menekankan pentingnya jurang antara dasar besar kerajaan dengan realiti kehidupan rakyat biasa ditangani dengan lebih berkesan.
Sebagai contoh, beliau mendedahkan laporan terkini oleh Khazanah Research Institute (KRI) yang mendapati bahawa hanya sekitar enam peratus peniaga kecil di Kuala Lumpur memanfaatkan skim pembiayaan mikro yang disediakan kerajaan menerusi pelbagai agensi.
Menurut beliau, keadaan itu menunjukkan wujud jurang antara pengumuman dasar dengan manfaat sebenar yang diterima rakyat pada peringkat akar umbi.
“Enam peratus itu bagi saya terlalu rendah. Oleh sebab itu, saya minta semua agensi kembali semula ke lapangan dan melihat mengapa rakyat tidak menggunakan kemudahan kredit yang disediakan,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan perlu memberikan tumpuan bukan sahaja kepada pengukuhan indikator makroekonomi, tetapi juga memastikan hasil pertumbuhan ekonomi dapat dirasai secara langsung oleh rakyat biasa.