Diterbitkan pada 24 Mei 2026, 12:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pasaran modal negara terus menunjukkan daya tahan yang kukuh meskipun berhadapan dengan ketidaktentuan ekonomi global, sekali gus meletakkan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang stabil dan diyakini pelabur antarabangsa.

Perkara itu ditegaskan Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), YBhg. Dato’ Muhammad Faiz Azmi, ketika menyampaikan pembentangan bertajuk “Role of the Capital Market (CMP) and Regional Positioning” dalam Forum Ilmuwan Malaysia MADANI Siri 12 bertemakan “Memacu Kedudukan Malaysia dalam Gelombang Baharu Aliran Modal Global” yang berlangsung pada malam Jumaat lalu.

Forum anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi melalui kerjasama Suruhanjaya Sekuriti Malaysia ini membincangkan strategi memperkukuh kedudukan Malaysia dalam landskap ekonomi global.

Menurut beliau, Malaysia masih mencatatkan pertumbuhan ekonomi positif berdasarkan unjuran badan antarabangsa selain terus menerima aliran masuk pelaburan asing bagi pasaran ekuiti dan bon.

Dalam dunia yang penuh ketidaktentuan ini, menjadi ‘membosankan’ sebenarnya satu perkara yang baik kerana situasi sebegini bermaksud Malaysia antara pasaran konsisten, tidak membuat kejutan dasar dan memberikan pulangan secara stabil dalam jangka panjang,” katanya.

Beliau turut memaklumkan momentum pengumpulan dana dalam pasaran modal kekal kukuh, manakala purata dagangan harian pasaran saham meningkat kepada sekitar RM3.4 bilion sehari, malah pernah mencecah sebanyak RM4.8 bilion susulan aktiviti pasaran melibatkan syarikat teknologi tempatan Cape EMS.

Katanya lagi, permodalan pasaran Malaysia yang bernilai sebanyak RM4.313 trilion pada awal tahun telah meningkat sebanyak RM161 bilion setakat April lalu, selari dengan sasaran kerajaan untuk menambah sebanyak RM2 trilion dalam tempoh lima tahun.

Dalam pembentangannya, beliau menjelaskan empat teras utama Pelan Induk Pasaran Modal yang menjadi pemacu kepada pembangunan ekonomi negara, iaitu kerancakan pasaran, keterangkuman, kemampanan dan pengukuhan modal global.

Bagi teras pertama, beliau berkata bahawa fokus utama adalah meningkatkan daya tarikan syarikat tersenarai melalui inisiatif “My Value Up” yang memberikan penekanan kepada sebanyak 88 syarikat terbesar yang mewakili lebih 80 peratus nilai pasaran Bursa Malaysia.

Menurutnya, syarikat perlu lebih aktif menceritakan potensi dan nilai perniagaan kepada pelabur global agar mendapat liputan penganalisis serta menarik pelaburan pasif antarabangsa melalui indeks utama seperti MSCI dan FTSE.

Dalam aspek keterangkuman pula, beliau menegaskan keperluan memastikan golongan pesara dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tidak tercicir daripada manfaat pertumbuhan ekonomi.

Katanya, SC mengenal pasti jurang pembiayaan sekitar RM286 bilion bagi PKS berbanding jumlah pembiayaan yang mampu disediakan institusi perbankan ketika ini.

Kita berharap dapat mengurangkan jurang pembiayaan itu sekurang-kurangnya separuh dalam tempoh lima tahun,” katanya.

Beliau turut menjelaskan pelibatan SC dalam agenda kelestarian termasuk usaha berkaitan dengan perubahan iklim dan projek penyesuaian nasional bertujuan untuk menarik pembiayaan swasta supaya beban kewangan kerajaan dapat dikurangkan.

Mengulas mengenai pengukuhan modal global, beliau berkata bahawa Malaysia kini berusaha menarik pelabur institusi jangka panjang atau “sticky investors” seperti dana pencen, dana kekayaan berdaulat (sovereign wealth fund) dan dana pembangunan yang cenderung mengekalkan pelaburan dalam tempoh lama.

Menurutnya, Malaysia juga sedang memperkukuh hubungan pelaburan dengan negara seperti China dan negara Teluk termasuk anggota Majlis Kerjasama Negara-negara Arab Teluk (GCC) bagi meningkatkan aliran masuk modal asing berkualiti tinggi ke negara ini.

Matlamat kita ialah menarik kumpulan pelabur yang berbeza untuk membantu agenda pembangunan negara melalui peningkatan aktiviti ekonomi, produk kewangan yang lebih baik serta pulangan lebih kukuh kepada pelabur tempatan dan antarabangsa,” katanya.

Kredit Foto: Kementerian Pendidikan Tinggi
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi