Diterbitkan pada 21 Mei 2026, 18:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Johor Bahru – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) terus memperhebat penguatkuasaan terhadap pembayar cukai yang culas menerusi pelaksanaan Task Force Operasi Guaman (TOG) Siri 1 Tahun 2026 yang berlangsung dari 21 Mei 2026 hingga 24 Mei 2026.

Langkah strategik ini dilaksanakan bagi memperkukuh agenda pematuhan cukai, khususnya terhadap pembayar cukai yang masih gagal melunaskan tunggakan cukai dan kompaun.

Pelaksanaan operasi berskala nasional ini memberikan tumpuan terhadap 2,213 syarikat dan individu di seluruh negara yang masih gagal menjelaskan tunggakan cukai, meskipun notis peringatan telah dikeluarkan sebelum ini melibatkan tunggakan cukai dan kompaun bernilai tinggi.

Operasi ini dilaksanakan sejajar dengan komitmen agensi untuk memastikan kutipan hasil negara kekal konsisten dan mampan, di samping memperkukuh integriti sistem percukaian negara demi menyokong pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Antara objektif utama pelaksanaan TOG Siri 1 Tahun 2026 termasuklah untuk mempertingkatkan kutipan tunggakan cukai dan kompaun secara lebih efektif, memperkukuh pematuhan sukarela dalam kalangan pembayar cukai dan meningkatkan keberkesanan tindakan penguatkuasaan melalui jalinan kerjasama bersama-sama agensi penguatkuasaan.

Tindakan undang-undang yang lebih tegas, termasuk prosiding sivil dan pendakwaan di mahkamah akan diambil terhadap pihak yang gagal mematuhi peruntukan undang-undang percukaian yang berkuat kuasa.

Operasi ini juga menjadi peringatan kepada pembayar cukai supaya melaksanakan tanggungjawab percukaian tepat pada masanya bagi mengelakkan tindakan penguatkuasaan dikenakan.

HASiL Johor dipilih sebagai tuan rumah bagi majlis perasmian dan sesi pelepasan petugas (flag-off) TOG Siri 1 Tahun 2026 dengan kerjasama strategik Polis Diraja Malaysia (PDRM). Majlis ini disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Dasar) HASiL, YBhg. Datuk Hisham Rusli di Menara HASiL Johor.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Dasar) HASiL, YBhg. Datuk Hisham Rusli membuat sesi pelepasan petugas dalam majlis perasmian TOG Siri 1 Tahun 2026.

Dalam ucapan perasmiannya, YBhg. Datuk Hisham Rusli berkata, pelaksanaan TOG Siri 1 Tahun 2026 merupakan antara strategi penguatkuasaan utama HASiL bagi memastikan tahap pematuhan cukai terus diperkukuh selaras dengan sasaran kutipan hasil negara yang telah ditetapkan.

YBhg. Datuk Hisham Rusli berucap dalam majlis perasmian TOG Siri 1 Tahun 2026.

Beliau berkata, langkah proaktif ini mencerminkan komitmen HASiL dalam memperkukuh integriti sistem percukaian negara, serta memastikan setiap pembayar cukai melaksanakan tanggungjawab mereka secara adil dan berhemah demi kepentingan pembangunan negara.

Pelaksanaan operasi ini diharapkan dapat terus memperkukuh sinergi antara agensi, sekali gus memastikan agenda percukaian nasional dapat dilaksanakan secara lebih berkesan, efisien dan berimpak tinggi ke arah memperkukuh kedudukan kewangan negara dan kesejahteraan rakyat.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi