Diterbitkan pada 20 Mei 2026, 11:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kumpulan AFFIN terus mencatat prestasi yang memberangsangkan apabila merekodkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM180.9 juta bagi suku pertama tahun 2026 untuk tempoh berakhir 31 Mac lalu.

Pencapaian itu menunjukkan peningkatan sebanyak 1.5 peratus berbanding dengan RM178.2 juta yang direkodkan dalam tempoh yang sama tahun lalu, sekali gus membuktikan kestabilan prestasi kumpulan tersebut, meskipun ekonomi global berdepan dengan pelbagai tekanan dan ketidaktentuan.

Menurut kumpulan itu, pertumbuhan berkenaan didorong oleh peningkatan pendapatan bersih sebanyak RM110.5 juta. Walaupun perbelanjaan operasi dan peruntukan bagi kemungkinan kerugian turut meningkat, keadaan itu masih berada pada tahap terkawal dan tidak menjejaskan prestasi keseluruhan syarikat.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AFFIN, YBhg. Datuk Wan Razly Abdullah berkata, pihaknya kekal yakin dengan hala tuju kumpulan itu walaupun persekitaran ekonomi global masih tidak menentu.

“Kami menjangkakan konflik global semasa akan berterusan sehingga pertengahan tahun sebelum harga minyak kembali stabil, serta aktiviti perdagangan dan komersial pulih secara berperingkat pada separuh kedua tahun ini,” jelas beliau.

Selain prestasi kewangan yang positif, Kumpulan AFFIN turut mencatat kejayaan dalam usaha memperkukuh kedudukan modal apabila terbitan Sekuriti Modal Tambahan Tahap 1 (AT1CS) bernilai RM500 juta yang dilancarkan pada Mei menerima sambutan menggalakkan daripada pelabur dengan permintaan melebihi penawaran sebanyak dua kali ganda.

Pada masa yang sama, AFFIN memperluas usaha pemantauan terhadap pelanggan yang berpotensi terjejas akibat pergolakan di Asia Barat, selain menyokong inisiatif Bank Negara Malaysia menerusi Kemudahan Bantuan Penstabilan PKS bernilai RM5 bilion bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mengharungi cabaran semasa.

Langkah proaktif tersebut mencerminkan komitmen Kumpulan AFFIN bukan sahaja dalam mengekalkan keuntungan, malah terus menyokong ekosistem perniagaan tempatan secara menyeluruh.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi