Diterbitkan pada 20 Mei 2026, 11:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) akan terus memperkukuh daya saing industri perkayuan negara sebagai subsektor agrikomoditi strategik yang memberikan sumbangan besar kepada ekonomi dan perdagangan negara.

Industri perkayuan mencatat nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM15.8 bilion pada tahun 2025, iaitu bersamaan 17.3 peratus daripada keseluruhan KDNK sektor agrikomoditi negara.

Sektor ini juga merupakan subsektor agrikomoditi ketiga terbesar negara selepas sawit dan getah dengan nilai eksport mencecah RM21.5 bilion, serta menyumbang 10.94 peratus daripada keseluruhan eksport komoditi negara bernilai RM170 bilion.

Bagi memperkukuh sektor tersebut, KPK meneruskan sesi libat urus strategik bersama-sama penggiat industri menerusi Program Dialog Bersama Pemegang Taruh Industri Perkayuan Tahun 2026 yang berlangsung di Pusat Biokomposit dan Gentian (FIDEC) 3, Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), Olak Lempit, Banting. Program ini disertai kira-kira 100 wakil kementerian, agensi kerajaan, persatuan industri, serta penggiat utama sektor perkayuan negara.

Program berkenaan menjadi platform strategik antara kerajaan dengan industri untuk membincangkan isu semasa, cabaran global, serta langkah memperkukuh daya saing dan kelestarian sektor perkayuan negara. Antara cabaran yang diketengahkan termasuklah ketidaktentuan ekonomi dunia, gangguan rantaian bekalan, peningkatan kos logistik, serta tekanan pematuhan pasaran antarabangsa.

Selain itu, penggiat industri turut membangkitkan isu peningkatan kos operasi dan logistik eksport, kekurangan bahan mentah dan cabaran pematuhan pensijilan antarabangsa seperti European Union Deforestation Regulation (EUDR).

Isu kekurangan tenaga kerja tempatan, serta keperluan memperkukuh pembiayaan hijau dan automasi industri juga diberikan perhatian bagi memastikan sektor tersebut terus kompetitif dan mampan.

Sehubungan dengan itu, KPK melalui MTIB dan agensi berkaitan dengannya sedang melaksanakan pelbagai langkah intervensi, termasuk memperkukuh program Industrial Tree Plantation (ITP), pembangunan sistem kebolehjejakan (traceability), peluasan pensijilan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), program pembangunan modal insan industri, serta insentif automasi dan teknologi Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) bagi meningkatkan produktiviti sektor perkayuan negara.

Kerajaan juga akan terus bekerjasama rapat dengan kementerian dan agensi berkaitan dengannya termasuk Kementerian Kewangan (MOF), Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), EXIM Bank, serta institusi kewangan bagi memperkukuh fasiliti eksport, pembiayaan perdagangan dan sokongan kepada syarikat tempatan khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

KPK menegaskan dialog berterusan bersama-sama penggiat industri penting bagi memastikan suara industri didengar kerajaan supaya dasar dan pendekatan yang dirangka lebih inklusif, praktikal dan responsif terhadap keperluan semasa.

Pada masa yang sama, kementerian komited memastikan sektor perkayuan negara kekal mampan, berdaya saing dan mampu menembusi pasaran global bernilai tinggi selaras dengan aspirasi Dasar Agrikomoditi Negara 2021–2030 (DAKN2030), serta agenda Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13).

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi