Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2026 dijangka menjadi pemangkin utama kepada penjanaan pelaburan bernilai sehingga RM8 bilion menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) dan memorandum perjanjian (MoA) antara pemain industri tempatan dengan antarabangsa.
Inisiatif tersebut dilihat mampu memperkukuh ekosistem agromakanan negara yang berteraskan nilai tambah, inovasi dan teknologi tinggi.
Menurut kenyataan media Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan semalam, kementerian itu telah menganjurkan Program Minum Petang “Pitch and Connect @ MAHA2026” sebagai platform strategik bagi memperkenalkan pakej penajaan kepada syarikat dan organisasi yang berpotensi menjadi rakan kerjasama dalam penganjuran MAHA 2026.
Program berkenaan bertujuan mengukuhkan jaringan kerjasama antara sektor kerajaan dengan swasta dalam memperluas peluang pelaburan, serta memperkasakan penjenamaan industri agromakanan negara.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YB Datuk Seri Haji Mohamad Sabu yang turut melancarkan sesi Program Minum Petang itu.
Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa MAHA 2026 yang bertemakan “Penciptaan Nilai Demi Keterjaminan Makanan” memberikan penekanan terhadap pembangunan rantaian nilai agromakanan yang lebih mampan, berdaya tahan dan berasaskan inovasi teknologi.
Menurut beliau, pendekatan tersebut selaras dengan aspirasi negara untuk memperkukuh keterjaminan makanan, serta meningkatkan daya saing sektor agromakanan pada peringkat domestik dan antarabangsa.

Pelancaran ini menandakan komitmen kerajaan dalam menarik lebih banyak pelabur strategik bagi menjayakan pameran pertanian terbesar negara Malaysia.
Lebih daripada 100 wakil syarikat dan penaja yang hadir dalam sesi berkenaan dan telah diberikan penerangan terperinci mengenai pakej penajaan, insentif, serta manfaat penyertaan dalam MAHA 2026.
Usaha ini dilihat sebagai pendekatan proaktif dalam membuka ruang pelaburan baharu, serta memperkukuh keyakinan sektor swasta terhadap potensi industri agromakanan negara.
MAHA 2026 yang dijadual berlangsung dari 28 Ogos hingga 6 September 2026 menyasarkan kehadiran kira-kira empat juta pengunjung, serta penyertaan 2,000 pempamer dari dalam dan luar negara. Penganjuran tersebut turut dijangka mencatat nilai jualan langsung sekurang-kurangnya RM55 juta.
Selain potensi pelaburan yang besar, program berkenaan juga dijangka melibatkan penyertaan kira-kira 800,000 golongan belia menerusi pelbagai aktiviti dan inisiatif pembangunan usahawan tani.
Secara keseluruhannya, Program Minum Petang “Pitch and Connect @ MAHA2026” dilihat mampu memperkukuh keyakinan pelabur dan memperluas jaringan strategik, sekali gus mengukuhkan kedudukan MAHA 2026 sebagai platform utama industri agromakanan serantau.