Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) menegaskan bahawa semua pelaksanaan program, pengiktirafan, pensijilan, penggredan, latihan, serta pelibatan mana-mana pihak dalam industri spa, Pusat Kesejahteraan (PKU), termasuk Urutan Malaysia hendaklah mematuhi sepenuhnya garis panduan rasmi kementerian yang sedang berkuat kuasa.
Antara garis panduan yang ditetapkan termasuklah Garis Panduan Penggredan Spa, Garis Panduan Penggredan Pusat Kesejahteraan (PKU) dan Garis Panduan Pelaksanaan Kursus Urutan Malaysia.
Pemakaian garis panduan ini bertujuan memastikan pembangunan industri dilaksanakan secara teratur, profesional dan selaras dengan piawaian yang ditetapkan.
Menurut MOTAC, kementerian mempunyai kuasa untuk menilai semula, menarik balik, meminda atau mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana individu, premis, penyelaras, pelaksana atau pihak berkepentingan sekiranya didapati berlaku pelanggaran, percanggahan, salah representasi, ketidakpatuhan atau tindakan yang menjejaskan integriti dasar, profesionalisme dan reputasi industri di bawah kementerian.
Sehubungan dengan itu, semua pihak diingatkan agar tidak mengeluarkan kenyataan, representasi awam, promosi atau tindakan yang bercanggah dengan dasar rasmi, syarat pelaksanaan atau ketetapan yang telah ditetapkan oleh MOTAC.
Sebarang pelanggaran boleh dipertimbangkan untuk tindakan sewajarnya selaras dengan kuasa pentadbiran, garis panduan dan peraturan yang berkuat kuasa.
MOTAC menegaskan komitmennya untuk memastikan pembangunan industri spa, kesejahteraan dan Urutan Malaysia dilaksanakan secara profesional, berintegriti, telus, serta selari dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai kesejahteraan rakyat, ihsan dan kemampanan industri.