Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) telah melaksanakan semua proses libat urus teknikal bersama-sama syarikat petroleum bagi memastikan rantaian bekalan, logistik dan infrastruktur di depoh adunan bersedia sepenuhnya untuk pelaksanaan peningkatan adunan biodiesel daripada B10 kepada B15 yang akan berkuat kuasa secara rasmi bermula 1 Jun 2026.
Pelaksanaan peralihan kepada B15 ini membuktikan kesiapsiagaan infrastruktur, kejuruteraan dan teknologi negara dalam menyokong agenda tenaga boleh baharu.
Pada masa yang sama, langkah ini memberikan isyarat jelas terhadap komitmen Malaysia untuk mengoptimumkan penggunaan minyak sawit bagi sektor tenaga domestik tanpa menjejaskan bekalan pasaran eksport.
Kadar adunan baharu ini dilaksanakan menerusi mekanisme yang diselaraskan melalui Jawatankuasa Peringkat Tinggi (HLC) Biobahan Api.
Inisiatif ini dijangka mampu mengurangkan kebergantungan negara pada import diesel dan petroleum, memanjangkan stok bekalan sedia ada, menstabilkan harga minyak sawit mentah (CPO) domestik, serta mengurangkan pelepasan karbon daripada sektor pengangkutan.
Langkah ini juga selaras dengan hasrat Dasar Agrikomoditi Negara (DAKN) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang menekankan penggunaan sumber tenaga lebih mampan dan pengukuhan keselamatan tenaga negara.
Bagi memastikan pelaksanaan berjalan lancar, KPK kini bekerjasama rapat dengan Kementerian Kewangan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam aspek penguatkuasaan dan pemantauan.
Selain itu, inisiatif penerangan awam turut diselaraskan bersama-sama Kementerian Komunikasi bagi memastikan maklumat yang tepat dan jelas dapat disampaikan kepada pengguna, sekali gus meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap pelaksanaan adunan biodiesel B15.