Diterbitkan pada 15 Mei 2026, 10:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kerajaan MADANI menyediakan kemudahan pembiayaan mikro berjumlah lebih daripada RM5 bilion bagi tahun 2026 sebagai usaha menggerakkan ekonomi rakyat dan membuka lebih luas peluang kepada masyarakat untuk meningkatkan taraf hidup.

Inisiatif ini dijangka memberikan manfaat kepada lebih daripada 400,000 usahawan mikro di seluruh negara dengan jumlah pinjaman sehingga RM100,000 bagi setiap pemohon.

Pelbagai skim pembiayaan disalurkan melalui agensi dan institusi kewangan pembangunan seperti Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Bank Simpanan Nasional (BSN), TEKUN Nasional, Majlis Amanah Rakyat (MARA), Agrobank dan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia (Bank Rakyat).

Bagi skim tertentu, kadar pembiayaan yang ditawarkan serendah tiga peratus setahun, sekali gus membantu mengurangkan beban kewangan golongan usahawan kecil.

Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata, institusi kewangan berkaitan dengannya telah diarahkan supaya mempertingkatkan gerak kerja bagi mendekati sebanyak mungkin peniaga kecil, penjaja dan usahawan mikro yang memerlukan sokongan, khususnya mereka yang berdepan dengan kekangan modal.

Pada masa yang sama, proses permohonan juga perlu dipermudah agar syarat pembiayaan tidak membebankan, serta dilaksanakan secara adil dan munasabah.

Beliau menegaskan bahawa Ekonomi MADANI berteraskan nilai ihsan, keadilan dan kesaksamaan. Menurut beliau, kemudahan pembiayaan mikro ini perlu sampai kepada rakyat yang mahu menjana rezeki halal dan membina kehidupan yang lebih bermaruah selaras dengan matlamat kerajaan untuk memperkukuh kesejahteraan rakyat.

Kemudahan pembiayaan mikro ini turut disasarkan kepada pelbagai kumpulan rakyat dan usahawan mikro termasuk peniaga kecil, penjaja pasar malam, wanita, belia, pekerja gig, lepasan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), kontraktor kecil, pesawah padi dan golongan asnaf. Langkah ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan akses pembiayaan lebih inklusif dan menyeluruh kepada semua lapisan masyarakat.

Kemudahan pembiayaan mikro ini berasingan daripada kemudahan pembiayaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang diumumkan sebelum ini, khususnya RM5 bilion di bawah Kemudahan Bantuan Khas PKS oleh Bank Negara Malaysia dan RM5 bilion di bawah Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP).

Secara keseluruhan, lebih daripada RM15 bilion sokongan pembiayaan disediakan kepada PMKS pada tahun ini bagi memperkukuh daya tahan ekonomi negara.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi