Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Malaysia terus memperlihatkan daya tahan ekonomi yang kukuh meskipun persekitaran ekonomi global masih dibayangi ketidaktentuan.
Menteri Ekonomi, YB Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) Bilangan ke-10 Tahun 2026 mengambil maklum bahawa kitaran ekonomi global masih tidak menentu susulan risiko geopolitik yang berpanjangan, serta gangguan terhadap rantaian bekalan antarabangsa.
Beliau berkata demikian dalam taklimat Krisis Bekalan Global yang disampaikan semalam.
Beliau menyatakan bahawa keadaan ini memberikan tekanan kepada harga tenaga, kos logistik dan harga komoditi, sekali gus menuntut keupayaan penyesuaian yang tinggi daripada setiap negara, termasuk Malaysia.
Sementara itu, Bank Negara Malaysia mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras 2.75 peratus setakat 7 Mei 2026, sekali gus mencerminkan keyakinan terhadap kestabilan ekonomi semasa.
Kadar inflasi keseluruhan dan inflasi teras pula masing-masing kekal rendah pada 1.6 peratus dan 2.1 peratus bagi suku pertama tahun ini, menunjukkan tekanan harga yang masih terkawal.
Selain itu, anggaran awal Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) merekodkan pertumbuhan sebanyak 5.3 peratus, menandakan momentum ekonomi negara yang terus berkembang.
“Prestasi ini turut disokong oleh perkembangan positif dalam pasaran ekuiti tempatan dengan Indeks Komposit Kuala Lumpur mencatatkan peningkatan dalam tempoh pelaporan pada 4 hingga 8 Mei 2026, iaitu meningkat daripada 1,722.02 mata kepada 1,748.06 mata pada 8 Mei, menunjukkan peningkatan sebanyak 1.2 peratus berbanding minggu sebelumnya.”
Bagi tempoh yang sama, harga komoditi utama negara, iaitu kelapa sawit dan getah juga menunjukkan aliran menaik.
“Purata harga kelapa sawit meningkat 1.2 peratus, iaitu daripada RM4, 502 satu tan kepada RM4, 558 satu tan. Manakala purata harga getah meningkat 2.3 peratus, iaitu daripada 854 sen sekilogram kepada 874 sen sekilogram,” ujar beliau.
Perkembangan ini memberikan gambaran bahawa Malaysia masih berupaya memanfaatkan peluang dalam keadaan pasaran global yang mencabar.
Namun demikian, ketidaktentuan global yang berterusan menuntut pelaksanaan dasar yang lebih berhati-hati dan responsif bagi memastikan kestabilan ekonomi negara terus terpelihara dalam jangka masa panjang.