Diterbitkan pada 12 Mei 2026, 08:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memperkenalkan beberapa inisiatif baharu bagi memperkukuh kesejahteraan persaraan ahlinya, termasuk kemudahan i-Legasi, penjenamaan semula kaedah bayaran bulanan Pengeluaran Umur 55/60 Tahun kepada i-Emas, serta pelancaran Kalkulator Matlamat Persaraan.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, langkah tersebut mencerminkan komitmen KWSP dalam membantu ahli mengurus simpanan persaraan secara lebih mampan dan terancang.

Menurut beliau, i-Legasi membolehkan ahli memindahkan sebahagian simpanan melebihi tahap Simpanan Mencukupi kepada akaun KWSP ahli keluarga terdekat selepas mencapai umur pengeluaran penuh, sekali gus memperkukuh jaminan kewangan antara generasi.

Beliau berkata, kaedah bayaran bulanan yang kini dikenali sebagai i-Emas pula memberikan pilihan kepada ahli untuk menerima pengeluaran secara bulanan selepas usia 55 atau 60 tahun sambil mengekalkan baki simpanan bagi memperoleh dividen tahunan.

“Lebih daripada 21,000 ahli telah memilih pengeluaran bulanan apabila mencapai umur 55/60 tahun, mencerminkan peningkatan kesedaran terhadap kepentingan pendapatan persaraan yang lebih stabil dan berstruktur,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, KWSP turut memperkenalkan Kalkulator Matlamat Persaraan dalam aplikasi i-Akaun bagi membantu ahli menganggarkan keperluan simpanan masa hadapan berdasarkan gaya hidup dan unjuran perbelanjaan persaraan.

Katanya, inisiatif tersebut diharap dapat membantu ahli membuat perancangan kewangan lebih awal dan meningkatkan keyakinan untuk menghadapi persaraan secara lebih terjamin dan bermaruah.

Maklumat lanjut boleh diperoleh melalui laman rasmi KWSP atau aplikasi KWSP i-Akaun.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi