Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangCyberjaya – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) kini mengorak langkah memperkukuh ekosistem percukaian digital negara melalui pelaksanaan e-Invois secara berperingkat. Inisiatif ini bertujuan untuk meningkatkan kecekapan dan memudahkan urusan pematuhan cukai bagi seluruh rakyat Malaysia
Sehubungan dengan itu, HASiL menggalakkan semua pembayar cukai untuk mula memohon e-Invois bagi setiap transaksi perbelanjaan yang layak mendapat pelepasan cukai individu bermula pada tahun ini. Langkah proaktif ini merupakan sebahagian daripada projek rintis HASiL untuk melaksanakan pengisian maklumat pelepasan cukai secara automatik (praisi) ke dalam Borang Nyata Cukai Pendapatan bagi Tahun Taksiran 2026.
“Antara perbelanjaan yang dikenal pasti untuk inisiatif praisi ini merangkumi pembelian komputer peribadi atau telefon pintar, perbelanjaan gaya hidup, insurans, yuran taman asuhan kanak-kanak, serta kategori pelepasan lain yang telah ditetapkan,” ulas HASiL menerusi kenyataan media yang dikeluarkan pada hari ini.
Bagi memastikan e-Invois dapat dikeluarkan dengan tepat oleh penjual, pembeli dikehendaki mengemukakan maklumat penting seperti nombor pengenalan diri atau Nombor Pengenalan Cukai (TIN) semasa melakukan transaksi. Penggunaan sistem e-Invois ini bukan sahaja membantu dalam aspek pengurusan dan penyimpanan rekod yang lebih teratur, malah membolehkan pembayar cukai membuat semakan transaksi perbelanjaan mereka secara terus melalui Portal MyInvois.
Untuk sebarang bantuan atau khidmat nasihat, pembayar cukai boleh menggunakan pelbagai saluran khas yang disediakan oleh HASiL. Selain berkunjung ke pejabat HASiL, orang awam juga boleh menghubungi Meja Bantuan e-Invois melalui talian 03-8682 8000 yang beroperasi selama 24 jam, menggunakan kemudahan MyInvois Live Chat, atau menghantar e-mel ke [email protected]. Maklum balas juga boleh disalurkan melalui borang dalam talian di pautan https://feedback.myinvois.hasil.gov.my.