Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangCyberjaya – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) memaklumkan bahawa perkhidmatan e-Rayuan Pungutan Cukai Pegangan kini boleh diakses secara dalam talian melalui portal MyTax.
Pembayar cukai boleh menggunakan kemudahan ini dengan melayari portal MyTax di https://mytax.hasil.gov.my dan log masuk mengikut peranan sebagai individu, pengarah atau wakil pengarah.
Seterusnya, pengguna boleh memilih menu Perkhidmatan ezHasil, diikuti e-Rayuan, e-Rayuan Pungutan dan Cukai Pegangan (WHT). Manual pengguna turut disediakan dalam portal berkenaan sebagai panduan.
Melalui inisiatif ini, pembayar cukai dapat mengemukakan rayuan, permohonan dan pertanyaan dengan lebih mudah, serta pantas berbanding dengan kaedah terdahulu yang menggunakan Borang Maklum Balas Pelanggan.
Perkhidmatan tersebut merangkumi pelbagai urusan, termasuk permohonan pelarasan bayaran, hapus kenaikan, pengecualian, bayaran balik, serta pertanyaan berkaitan dengan cukai pegangan. Selain itu, status permohonan boleh disemak pada bila-bila masa, sekali gus meningkatkan ketelusan dan kemudahan kepada pengguna.
Dari segi akses, individu boleh mengemukakan rayuan atau pertanyaan melalui peranan masing-masing, manakala pengarah syarikat boleh berbuat demikian melalui peranan pengarah atau melantik wakil pengarah.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen HASiL dalam memperluas perkhidmatan digital, di samping mengurangkan kebergantungan pada proses manual, serta meningkatkan kecekapan penyampaian.
Selaras dengan agenda pendigitalan perkhidmatan awam, HASiL terus komited menyediakan perkhidmatan percukaian yang cekap, mudah diakses dan berorientasikan pelanggan bagi menyokong pematuhan cukai dalam kalangan masyarakat.