Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangMelaka — Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) melancarkan Operasi Pematuhan Cukai Peringkat Nasional 2026 dikenali sebagai OP Syahbandar bagi memperkukuh pematuhan cukai, serta mengekang ketirisan hasil negara.
Operasi selama lima hari bermula 4 Mei hingga 8 Mei itu melibatkan 2,195 orang pegawai di seluruh negara dengan tumpuan terhadap 1,300 kes yang dikenal pasti berisiko.
HASiL Melaka bertindak sebagai tuan rumah pelancaran operasi bersepadu berkenaan yang memberikan fokus kepada audit melibatkan Cukai Syarikat, Cukai Selain Syarikat dan Cukai Majikan.
Seiring dengan perkembangan ekonomi digital, sektor pembuatan menjadi fokus utama operasi tahun ini, khususnya melibatkan syarikat yang melaporkan pendapatan di bawah margin industri, belum pernah diaudit, berisiko dalam tuntutan insentif cukai, serta terlibat dalam transaksi harga pindahan dengan pihak berkaitan dengannya di luar negara.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif HASiL (Pematuhan), Shaharrudy Othman berkata, operasi itu mencerminkan komitmen berterusan agensi berkenaan dalam memastikan pematuhan cukai dilaksanakan secara adil dan saksama.
Menurutnya, langkah tersebut penting bagi memastikan kutipan hasil negara kekal mampan, serta menyokong kestabilan ekonomi.
Pelaksanaan OP Syahbandar dijangka meningkatkan keberkesanan tindakan pematuhan melalui pendekatan bersepadu, di samping memelihara integriti sistem percukaian negara.