Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur — Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menyokong pengumuman Perdana Menteri sempena Sambutan Hari Pekerja Kebangsaan 2026 sebagai langkah memperkukuh asas ekonomi negara melalui pembangunan tenaga kerja berdaya saing.
KESUMA memaklumkan pemuktamadan Dasar Sumber Manusia Negara (DSMN) 2026–2035 akan menjadi pemacu peningkatan produktiviti dan kecekapan pasaran buruh menerusi penyelarasan aspek kemahiran, perburuhan, perhubungan perusahaan dan keselamatan sosial.
Cadangan Elaun Pasca Cuti Bersalin (EPCB) dijangka meningkatkan penyertaan wanita dalam tenaga buruh, sekali gus menambah bekalan tenaga kerja dan merangsang pertumbuhan ekonomi domestik.
Selain itu, peluasan perlindungan PERKESO kepada rakyat Malaysia di luar negara melalui Skim Pengembara berpotensi memperkukuh keselamatan pendapatan, serta menyokong mobiliti tenaga kerja rentas sempadan.
KESUMA turut menekankan pelaksanaan Bekerja Dari Rumah (BDR) dan Aturan Kerja Fleksibel (AKF) sebagai mekanisme meningkatkan kecekapan kos operasi, serta pengurusan permintaan tenaga dalam menghadapi ketidaktentuan global.
Pada masa sama, Pakej Daya Tahan Ekonomi (PACE) bernilai lebih daripada RM710 juta dilihat sebagai rangsangan fiskal bersasar bagi memperkukuh kebolehgajian, menyokong perusahaan, serta memperluas perlindungan sosial, termasuk dalam kalangan pekerja gig dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Menurut KESUMA, pelaburan dalam pembangunan bakat melalui inisiatif seperti Akademi Semikonduktor dan TVET Inklusif MADANI akan meningkatkan nilai tambah tenaga kerja, seterusnya memperkukuh daya saing ekonomi negara dalam jangka masa panjang.