Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSerdang — Universiti Putra Malaysia (UPM) menjadi tuan rumah program MICPA Accountancy Week 2026 yang berlangsung selama empat hari dari 22 April hingga 25 April lalu, melibatkan penyertaan lebih daripada 950 orang mahasiswa perakaunan daripada universiti awam dan swasta seluruh negara.
Program anjuran Malaysian Institute of Certified Public Accountants (MICPA) dengan kerjasama UPM Accounting Club (UPAC), Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SPE) UPM itu bertemakan Empowering Next-Gen Accountants.
Penganjuran program berkenaan bertujuan merapatkan jurang antara pembelajaran akademik dengan keperluan sebenar industri perakaunan, di samping memperkukuh jaringan antara pelajar dengan ahli akademik dan pemain industri.
Pelbagai aktiviti diadakan sepanjang program, termasuk sesi rangkaian profesional, simulasi pengurusan perniagaan, kuiz perakaunan, pertandingan bakat, serta acara sukan.
Bagi pertandingan Simulasi Pengurusan, Universiti Malaya muncul juara, diikuti dengan Asia Pacific University (APU) dan UPM.
Dalam Kuiz Perakaunan kategori ijazah sarjana muda, Universiti Monash menjuarai pertandingan tersebut, manakala kategori diploma dimenangi oleh Kolej Sunway.
Acara sukan pula melibatkan badminton, futsal, bola jaring, e-sukan, catur dan eksplorasi yang disertai pelbagai universiti tempatan.
Majlis pembukaan dan penutupan turut dihadiri oleh Presiden MICPA, Soo Hoo Khoon Yean, Ahli Majlis MICPA, serta wakil pengurusan UPM.
UPM memaklumkan program berkenaan turut memberikan penekanan kepada aspek etika dan integriti sebagai tunjang utama profesion perakaunan, selain memberikan pendedahan mengenai laluan pentauliahan profesional bertaraf antarabangsa.
