Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangCyberjaya – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) mengesan ketidakpatuhan pembayar cukai menerusi semakan data e-Invois, sekali gus berjaya mendorong sebanyak 38,906 pembayar cukai mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) secara sukarela.
Melalui pendekatan peringatan itu, pembayar cukai terbabit melaporkan pendapatan berjumlah RM3.5 bilion yang melibatkan cukai kena dibayar sebanyak RM760.7 juta.
HASiL memaklumkan bagi pembayar cukai yang masih gagal mengemukakan BNCP, tindakan lanjut akan diambil menerusi audit, serta penguatkuasaan. Sehubungan dengan itu, semua pihak diseru agar menunaikan tanggungjawab masing-masing dengan melaporkan pendapatan dan membayar cukai sewajarnya.
Dalam usaha memperkukuh pematuhan e-Invois, HASiL turut melaksanakan Operasi Semakan Pematuhan e-Invois Peringkat Nasional 2026 secara serentak di seluruh negara dari 20 April hingga 24 April lalu.
Sebanyak 108 orang pembayar cukai dikenal pasti masih gagal melaksanakan e-Invois di bawah Fasa 1 dan Fasa 2 dan akan dikenakan tindakan susulan. Operasi tersebut melibatkan lawatan ke premis, semakan rekod e-Invois, temu bual, serta penilaian sistem yang digunakan.
Menurut HASiL, pendekatan itu dilaksanakan secara holistik melalui gabungan penguatkuasaan dan pendidikan bagi memastikan pematuhan undang-undang, di samping meningkatkan kesedaran serta, kefahaman pembayar cukai.
Sejak pelaksanaan e-Invois bermula pada 1 Ogos 2024, sebanyak 225,604 orang pembayar cukai telah mengemukakan e-Invois melibatkan pengeluaran keseluruhan sebanyak 1.299 bilion invois.
Perkembangan itu menunjukkan sokongan positif pembayar cukai terhadap langkah pendigitalan dalam operasi perniagaan dan pengurusan rekod yang lebih teratur.
Dalam perkembangan berkaitan dengannya, kerajaan bersetuju memberikan tempoh kelonggaran tambahan kepada pembayar cukai Fasa 4, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) daripada 12 bulan kepada 24 bulan.
Melalui kelonggaran tersebut, pembayar cukai dibenarkan mengeluarkan e-Invois disatukan secara bulanan bagi semua aktiviti dan transaksi sepanjang tempoh peralihan dari 1 Januari 2026 hingga 31 Disember 2027.
Dalam tempoh sama, HASiL tidak akan mengenakan penalti terhadap ketidakpatuhan keperluan e-Invois dengan syarat pembayar cukai mematuhi pengeluaran e-Invois disatukan.