Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangCyberjaya – Kutipan cukai langsung negara mencipta sejarah apabila mencecah RM203.991 bilion pada tahun 2025, sekali gus menjadi rekod tertinggi pernah dicapai oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) dan kali pertama melepasi paras RM200 bilion sejak diperbadankan pada tahun 1996.
Kejayaan tersebut diraikan sempena Sambutan Hari HASiL Ke-30 yang menandakan tiga dekad peranan berterusan institusi itu dalam memperkukuh sistem percukaian negara.
Sambutan berkenaan turut menjadi manifestasi penghargaan terhadap usaha berterusan HASiL dalam memodenkan sistem percukaian, memperkasakan pendigitalan, serta menambah baik penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Kekuatan kutipan cukai itu juga membolehkan kerajaan memperuntukkan tambahan RM11.4 bilion bagi menyelesaikan bayaran balik cukai tertunggak syarikat secara sistematik dan telus.
HASiL kekal komited memperkukuh kesiapsiagaan, serta inovasi dalam mendepani cabaran ekonomi global, termasuk ekonomi digital dan kecerdasan buatan (AI) bagi memastikan sistem percukaian negara terus mampan.
Majlis perasmian sambutan disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, YBhg. Datuk Amar Haji Fadillah Haji Yusof di Dewan Bangsawan, Menara HASiL, Cyberjaya.
Bagi memastikan capaian lebih meluas, acara tersebut turut disiarkan secara langsung menerusi platform YouTube HASiL_Malaysia dan TikTok HASiLMalaysia, sekali gus membolehkan warga kerja HASiL di seluruh negara, serta orang ramai mengikuti sambutan itu secara maya.
Yang turut hadir ialah Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Timbalan Menteri Kewangan, YB Liew Chin Tong; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam merangkap Anggota Lembaga, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Haji Abdul Aziz; Ketua Setiausaha Perbendaharaan merangkap Pengerusi Lembaga, YBhg. Datuk Johan Mahmood Merican; Ketua Pegawai Eksekutif HASiL, YBhg. Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin; barisan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif HASiL, pengurusan kanan HASiL, serta tetamu jemputan.
Majlis turut diserikan dengan penyampaian Anugerah Perdana HASiL 2025 kepada lima warga kerja sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan profesionalisme, integriti, serta nilai versatil yang ditunjukkan.
Selain itu, Anugerah Pembayar Cukai Terbaik Tahun 2025 turut disampaikan kepada 10 buah syarikat korporat sebagai penghargaan terhadap tahap pematuhan cukai yang tinggi berdasarkan kriteria penilaian yang ditetapkan.
Sambutan Hari HASiL Ke-30 mencerminkan komitmen berterusan HASiL dalam memperkukuh sistem percukaian negara yang cekap dan berdaya saing.
Berteraskan inovasi, integriti dan pendigitalan, HASiL akan terus melangkah ke hadapan sebagai institusi yang berdaya tahan, serta diyakini dalam menyokong kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat.