Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Kerajaan MADANI mengambil langkah segera meningkatkan bantuan tunai diesel susulan tekanan berterusan dalam pasaran tenaga global akibat konflik di Asia Barat yang menjejaskan kos bahan api dan rantaian bekalan dunia.
Langkah ini bertujuan meringankan beban rakyat dan memastikan kelangsungan aktiviti ekonomi negara.
Dalam penambahbaikan tersebut, bantuan tunai BUDI Agri-Komoditi dan BUDI Diesel Individu dinaikkan daripada RM300 kepada RM400 sebulan bagi April 2026 dan akan disalurkan bermula 21 April ini.
Langkah ini merupakan kali kedua bantuan berkenaan dinaikkan susulan krisis semasa.
BUDI Agri-Komoditi dijangka memberikan manfaat kepada lebih daripada 200,000 petani dan pekebun kecil dengan tambahan dana sekitar RM20 juta sebulan.
BUDI Diesel Individu pula dijangka memanfaatkan kira-kira 150,000 pemilik kenderaan diesel di Semenanjung Malaysia dengan tambahan sekitar RM15 juta sebulan.
Kementerian Kewangan memaklumkan bahawa kerajaan dijangka menanggung subsidi sekitar RM7 bilion bagi April 2026, termasuk tambahan RM75 juta untuk pelaksanaan ketiga-tiga inisiatif bantuan diesel tersebut.
Selain itu, kerajaan turut bersetuju memudahkan pembelian diesel bagi kegunaan selain kenderaan dengan melonggarkan syarat permit khas bagi pembelian melebihi 20 liter.
Pemilik mesin atau jentera pertanian kini dibenarkan membeli diesel melebihi had tersebut dengan mengemukakan pendaftaran jentera, manakala garis panduan pelaksanaan akan diperincikan dalam masa terdekat.
Pada masa yang sama, kerajaan turut memperkukuh sokongan kepada pesawah melalui peningkatan Insentif Pembajakan kepada Pesawah (IPKP) bagi musim penanaman tahun 2026 daripada RM160 kepada RM300 sehektar.
Inisiatif tersebut melibatkan tambahan peruntukan sekitar RM40 juta dan dijangka memberikan manfaat kepada hampir 200,000 pesawah padi.
Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan memahami kesan langsung kenaikan kos kepada rakyat dan komited mengambil langkah bersasar bagi membantu golongan terkesan, khususnya pesawah, petani, pekebun kecil dan pemilik kenderaan diesel individu yang layak.
Kerajaan melalui Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) akan terus memantau perkembangan semasa pada peringkat global dan bersedia mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan kestabilan ekonomi dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.