Diterbitkan pada 10 April 2026, 15:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan membantu perniagaan mengurus kos melalui peningkatan kecekapan tenaga, penggunaan skim Time-of-Use (ToU) yang mengoptimumkan penggunaan elektrik, serta peralihan kepada tenaga boleh baharu, sekali gus memastikan kelangsungan operasi dalam menghadapi ketidaktentuan tenaga global.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YB Steven Sim Chee Keong, hari ini mengadakan pertemuan dengan pihak TNB yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, YBhg. Datuk Ir. Ts. Shamsul Ahmad bagi membincangkan langkah sokongan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam menghadapi tekanan kos yang semakin meningkat.

Dalam pertemuan tersebut, perbincangan tertumpu kepada langkah praktikal untuk membantu PMKS mengurus kos operasi secara lebih berkesan, menambah baik aliran tunai, serta mempercepat peralihan kepada tenaga boleh baharu.

Pertemuan ini diadakan susulan krisis tenaga global yang turut menjejaskan Malaysia dan memberikan tekanan kepada PMKS, khususnya dari segi peningkatan kos elektrik dan operasi harian.

Dalam pertemuan itu, YB Steven Sim turut menggariskan beberapa bidang kerjasama strategik antara KUSKOP dengan TNB. 

“KUSKOP melalui SME Corp. Malaysia mencadangkan agar penyelarasan insentif atau tarif yang lebih bersesuaian dipertimbangkan untuk PMKS. Selain itu, usaha akan dipergiat untuk memperluas penggunaan skim ToU dalam kalangan PMKS melalui kempen bersama bagi membantu perniagaan mengoptimumkan penggunaan elektrik dan seterusnya mengurangkan kos operasi,” menurut kenyataan media KUSKOP.

Kedua-dua pihak akan memperkukuh kerjasama dalam aspek pendigitalan dan peralihan tenaga, termasuk memperluas akses PMKS kepada pemasangan solar melalui model pembiayaan yang lebih fleksibel seperti pembiayaan tanpa perbelanjaan modal (zero capex), selaras dengan agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), serta usaha mempercepat penggunaan tenaga boleh baharu.

Dari segi pembangunan kapasiti, KUSKOP dan TNB akan bekerjasama melalui Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) bagi memperluas program latihan dan pembangunan keupayaan usahawan yang merangkumi aspek pengurusan kewangan, serta pengembangan dan penskalaan perniagaan.

Dalam jangka masa panjang, YB Steven Sim menegaskan kepentingan membuka lebih banyak ruang kepada PMKS untuk menyertai ekosistem peralihan tenaga di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), termasuk pelibatan dalam sektor baharu seperti tenaga solar, kenderaan elektrik, pusat data dan teknologi tenaga melalui platform seperti Energy Transition Conference.

Beliau berkata, KUSKOP akan bekerjasama rapat dengan TNB untuk meneroka insentif bersasar, serta memperluas kesedaran bagi memastikan lebih banyak PMKS dapat memanfaatkan inisiatif tersebut.

“Dengan menggabungkan usaha pengurusan kos dan peluang peralihan tenaga, kita mahu memastikan PMKS Malaysia kekal berdaya saing, berdaya tahan dan bersedia untuk berkembang ke pasaran baharu,” katanya.

Usaha ini selaras dengan agenda KUSKOP untuk memperhebat perniagaan Malaysia melalui strategi ABCD, iaitu anjakan produktiviti, birokrasi dipermudah, capaian modal dan daya akses pasaran.

Kredit Foto: Media KUSKOP
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi