Diterbitkan pada 3 April 2026, 11:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kementerian Pendidikan Tinggi dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM) menganjurkan Forum Ilmuwan Malaysia MADANI Siri 9 di Sasana Kijang yang menghimpunkan pemimpin tertinggi negara, pakar kewangan dan cendekiawan dalam perbincangan ilmiah bertaraf tinggi mengenai masa hadapan ekonomi negara.

Forum yang bertemakan Memacu Ekonomi Malaysia: Peranan Sektor Kewangan dan Reformasi Struktur dalam Mendepani Ketidaktentuan Geopolitik Global” ini menampilkan barisan panel berwibawa, termasuk Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim; Menteri Kewangan II, YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah; Gabenor Bank Negara Malaysia, YBhg. Tan Sri Abdul Rasheed Ghaffour, serta wakil Bank Dunia, YBrs. Dr. Apurva Sanghi.

Dalam ucapannya, Perdana Menteri menegaskan bahawa Malaysia perlu bersedia menghadapi cabaran ekonomi global yang semakin kompleks, khususnya dalam suasana ketegangan geopolitik yang memberikan kesan langsung kepada rantaian bekalan, perdagangan antarabangsa dan aliran pelaburan.

YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah pula menggariskan kepentingan pelaksanaan reformasi struktur bagi memastikan sektor kewangan negara kekal kukuh dan mampu menyokong pertumbuhan ekonomi jangka masa panjang. Beliau turut menegaskan bahawa komitmen kerajaan untuk melaksanakan dasar fiskal yang bertanggungjawab demi menjamin kestabilan ekonomi negara.

Sementara itu, YBhg. Tan Sri Abdul Rasheed Ghaffour menekankan peranan sektor kewangan dalam menyediakan persekitaran yang kondusif untuk pelaburan, di samping memastikan sistem perbankan negara kekal berdaya tahan dalam menghadapi tekanan luaran.

YBrs. Dr. Apurva Sanghi pula berkongsi perspektif global dengan menyatakan bahawa negara membangun seperti Malaysia perlu mempergiat usaha penstrukturan semula ekonomi bagi memanfaatkan peluang dalam landskap geopolitik yang semakin berubah.

Forum ini dilihat sebagai platform penting dalam memupuk budaya ilmu dan memperkasakan perbincangan dasar awam yang lebih bermakna selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan pembangunan insan dan ekonomi yang inklusif.

Kredit Foto: Bank Negara Malaysia
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi