Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur − Kerajaan mengambil pendekatan berjaga-jaga dalam menghadapi kesan konflik di Asia Barat yang berpotensi memberikan implikasi terhadap ekonomi global termasuk Malaysia.
Dalam Sidang Media Khas hari ini, Menteri Kewangan II, YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kabinet telah mengadakan sesi khas bagi membincangkan isu yang timbul susulan konflik di rantau tersebut, serta menilai kesannya kepada negara.
Menurut beliau, Asia Barat merupakan kawasan yang sangat penting kepada ekonomi dunia kerana menyumbang kira-kira 20 peratus daripada pengeluaran minyak dan gas global.
Ujarnya, konflik yang berlaku berpotensi menjejaskan rantaian bekalan tenaga dunia, khususnya jika berlaku sekatan di laluan perkapalan utama seperti Selat Hormuz.
“Sekatan dalam jangka masa panjang boleh memberikan kesan kepada pengeluaran minyak dan gas dunia serta mendorong peningkatan harga minyak mentah,” ujar beliau dalam sidang media khas di sini hari ini.
Beliau berkata bahawa dalam tempoh dua minggu kebelakangan ini, harga minyak mentah dunia melonjak daripada sekitar USD60 setong kepada USD119 setong, sebelum kembali stabil pada paras sekitar USD100 setong.
Selain minyak dan gas, Asia Barat juga merupakan kawasan penting bagi eksport bahan seperti urea, sulfur dan helium.
Namun begitu, beliau menjelaskan bahawa bekalan tenaga dalam negara ketika ini masih berada pada tahap stabil.
“Alhamdulilllah, buat masa ini kita melihat bekalan dalam negara mencukupi. Seperti yang diterangkan oleh Perdana Menteri, bekalan petrol dan diesel masih stabil,” ujar beliau.
Menurut beliau, perkara itu disokong oleh keupayaan Malaysia dalam pengeluaran minyak dan gas domestik, serta kapasiti penapisan yang dimiliki oleh Petrolium Nasional Berhad (PETRONAS) dan syarikat berkaitan dengannya.
Walau bagaimanapun, beliau mengakui Malaysia tetap terkesan dari segi harga barangan kerana harga bahan api ditentukan oleh pasaran dunia.
Pada masa yang sama, kerajaan terus mengekalkan sokongan kepada rakyat melalui inisiatif di bawah program BUDI MADANI termasuk BUDI Individu, BUDI Agri-Komoditi dan BUDI Pengangkutan bagi membantu mengurangkan beban kos sara hidup.
Menurut beliau, keputusan mengekalkan harga bahan api walaupun harga pasaran meningkat memberi implikasi kepada perbelanjaan kerajaan.
“Berdasarkan kiraan semasa, kenaikan harga minyak menyebabkan subsidi meningkat kepada kira-kira RM2 bilion berbanding dengan sekitar RM700 juta sebelum ini. Subsidi diesel pula meningkat sehingga hampir RM1 bilion,” katanya.
Tambah beliau, kerajaan masih mampu menampung kos tersebut hasil reformasi dan konsolidasi fiskal yang dilaksanakan sepanjang tiga tahun pentadbiran Kerajaan MADANI.
Pada masa yang sama, kerajaan turut mengambil beberapa langkah penjimatan sebagai pendekatan “no regret move” bagi menghadapi ketidaktentuan global.
Antara langkah yang diambil termasuklah tidak mengadakan jamuan Hari Raya Aidilfitri sebagai simbolik penjimatan, selain mengurangkan penggunaan elektrik di pejabat kerajaan termasuk pelarasan suhu pendingin hawa.
Kerajaan juga mempertimbangkan pelaksanaan kerja dari rumah bagi mengurangkan penggunaan tenaga, serta memastikan bekalan petrol, diesel dan elektrik kekal mencukupi.
Beliau berkata, langkah tersebut turut bertujuan memperkukuh ketahanan ekonomi negara dalam jangka masa panjang.
Dari segi prestasi ekonomi, Malaysia mencatat pertumbuhan 6.3 peratus pada suku keempat 2025 dengan pertumbuhan keseluruhan tahun sebanyak 5.2 peratus.
Pertumbuhan tersebut didorong oleh pembaharuan ekonomi, peningkatan pelaburan domestik serta perbelanjaan dalam negara.
“Walaupun dunia berdepan dengan cabaran geopolitik, kita yakin ekonomi Malaysia akan terus berkembang dengan pendekatan yang berfokus pada kestabilan dan pembaharuan ekonomi,” ujar beliau.