Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Sistem MyRMK dilancarkan hari ini bertujuan memperkukuh pemantauan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) melalui pendekatan digital yang lebih sistematik dan bersepadu melibatkan kementerian, serta agensi kerajaan.
Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, YBhg. Datuk Seri Nor Azmie Diron berkata, sistem tersebut dibangunkan bagi memastikan setiap inisiatif pembangunan negara di bawah RMK-13 dapat dipantau dengan lebih telus, tersusun dan berasaskan bukti.
Menurut beliau, RMK-13 yang bermula pada 1 Januari 2026 melibatkan tempoh pelaksanaan selama lima tahun dari tahun 2026 hingga tahun 2030, namun impaknya dijangka menjangkaui tempoh tersebut demi manfaat generasi akan datang.
“Pelaksanaan RMK-13 memerlukan kerjasama erat antara kementerian dengan jabatan, agensi, serta kerajaan negeri. Tanpa penyelarasan ini, sukar untuk memastikan setiap perancangan dapat dilaksanakan dengan berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Mesyuarat Perdana Kumpulan Perancang Antara Agensi (IAPG), serta pelancaran sistem MyRMK di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Menurut YBhg. Datuk Seri Nor Azmie, sebelum ini pemantauan pelaksanaan rancangan pembangunan dilakukan secara manual, namun peningkatan jumlah inisiatif dan projek dalam RMK-13 memerlukan satu sistem digital yang lebih komprehensif.
“MyRMK dibangunkan secara dalaman sebagai platform pemantauan perancangan pembangunan negara, melengkapkan sistem sedia ada seperti MyProject dan MyBelanjawan,” jelasnya.
Beliau berkata, platform tersebut membolehkan kementerian dan agensi menilai kemajuan pelaksanaan, mengenal pasti cabaran serta meneliti pencapaian inisiatif berdasarkan data yang dimasukkan ke dalam sistem.
Pada masa yang sama, beliau turut mengingatkan bahawa RMK-13 mengangkat tema “Melakar Semula Pembangunan” dengan penekanan kepada penyelesaian isu struktur ekonomi negara.
Antara keutamaan utama rancangan tersebut termasuklah meningkatkan pendapatan rakyat, memperkukuh penawaran ekonomi seperti sektor pertanian dan tenaga buruh serta menangani isu bakat dan pembangunan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Selain itu, RMK-13 turut memberikan tumpuan kepada peralihan kepada tenaga boleh baharu sebagai sebahagian daripada usaha pembangunan mampan negara.
YBhg. Datuk Seri Nor Azmie berkata, empat tonggak utama turut digariskan dalam RMK-13, iaitu memperkukuh kerencaman ekonomi, meningkatkan mobiliti sosial, mereformasi perkhidmatan awam dan mempertingkat kesejahteraan hidup rakyat.
Beliau turut menjelaskan bahawa pelancaran MyRMK selepas 71 hari pelaksanaan RMK-13 bertujuan memastikan sistem tersebut benar-benar stabil dan boleh digunakan oleh semua pihak.
“Sebelum dilancarkan, sistem MyRMK terlebih dahulu dibentangkan kepada kumpulan kerja teknikal dan IAPG bagi memastikan sistem ini benar-benar bersedia untuk digunakan secara meluas,” katanya.
Tambah beliau, laporan prestasi pelaksanaan RMK-13 juga akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri sekali setahun, manakala mesyuarat IAPG dijangka diadakan sekurang-kurangnya dua kali setahun bagi menilai kemajuan pelaksanaan.