Diterbitkan pada 4 Mac 2026, 12:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancarkan operasi ketenteraan terhadap Iran pada 28 Februari 2026. Operasi Epic Fury oleh AS dan Operasi Roaring Lion oleh Israel menyasarkan kemudahan nuklear, infrastruktur ketenteraan, serta kepimpinan rejim Iran. AS dan Israel menyerang Tehran, Urmia, Karaj, Qom, Kermanshah, Isfahan, Shiraz, Minab dan Chabahar.

Antara pemimpin Iran yang dilaporkan terkorban termasuklah Pemimpin Agung Iran, Ali Khamenei; Setiausaha Majlis Keselamatan Iran, Ali Shamkhani; Ketua Biro Ketenteraan bagi Pemimpin Agung Iran, Mohammad Shirazi; Komander Kor Pengawal Revolusi Islam Iran, Mohammad Pakpour; Ketua Turus Angkatan Tentera Iran, Abdolrahim Mousav; Menteri Pertahanan Iran dan bekas komander tentera udara, Aziz Nasirzadeh; Ketua Pertubuhan Penyelidikan dan Inovasi Pertahanan (SPND), Hossein Jabal Amelian; bekas ketua SPND, Reza Mozaffari Nia serta Ketua Direktorat Risikan Khatam al-Anbiya, Saleh Asadi.

Tehran bertindak balas dengan melancarkan 170 peluru berpandu balistik ke arah Israel dan pangkalan tentera AS di Timur Tengah seperti Kuwait, Qatar, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, Iraq, Arab Saudi dan Jordan. Iran juga dilaporkan menutup Selat Hormuz.

Selat Hormuz yang menghubungkan Teluk Parsi dengan Teluk Oman dan Laut Arab merupakan laluan strategik perdagangan minyak global. Kira-kira 20 peratus minyak dunia dari negara pengeluar seperti Arab Saudi, UAE, Iraq, Kuwait dan Iran melalui selat tersebut, selain sejumlah besar gas asli cecair (LNG) dari Qatar. Di kawasan berkenaan terdapat saluran paip minyak mentah Abu Dhabi, saluran paip minyak Timur–Barat, serta saluran paip cecair gas asli (NGL) Abqaiq–Yanbu yang menghubungkan Laut Merah dengan Teluk Parsi.

Penutupan Selat Hormuz akan menjejaskan pengeksportan minyak negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) di Timur Tengah. Negara pengimport minyak mentah dari rantau tersebut turut menerima kesan langsung. China, India, Korea Selatan dan Jepun merupakan antara negara yang terjejas.

Pada tahun 2024, China mengimport 321 ribu tong minyak mentah sehari dari Kuwait; UAE (712 ribu tong); Iraq (1.279 juta tong); Arab Saudi (1.576 juta tong); serta negara Timur Tengah lain seperti Iran, Oman, Qatar dan Bahrain (2.436 juta tong). India pula mengimport 1.005 juta tong minyak mentah sehari dari Iraq pada tahun 2024, diikuti dengan Arab Saudi (622 ribu tong), UAE (435 ribu tong), Kuwait (120 ribu tong) dan negara Timur Tengah lain (68 ribu tong).

Pada tahun 2025, Korea Selatan mengimport 945,200 tong minyak mentah sehari dari Arab Saudi; UAE (317,200 tong); Iraq (311,500 tong); dan Kuwait (237,600 tong). Jepun pula mengimport minyak mentah dari UAE bernilai USD31.4 bilion; Arab Saudi (USD28.7 bilion); Kuwait (USD4.86 bilion); Qatar (USD2.8 bilion); dan AS (USD1.87 bilion). Penutupan Selat Hormuz akibat perang mengancam sektor tenaga China, India, Korea Selatan dan Jepun.

Serangan terhadap kemudahan pengeluaran minyak dan gas asli memburukkan lagi keadaan kerana tindakan tersebut menjejaskan pengeluaran negara anggota GCC dan OPEC. Pada 2 Mac 2026, dron jenis Shahed-136 dilaporkan menyerang kemudahan penapisan minyak Saudi Aramco di Ras Tanura, Arab Saudi sehingga menyebabkan kebakaran kecil dan penutupan sementara operasi loji berkenaan.

Sehari sebelumnya, serangan dilaporkan berlaku terhadap kapal tangki Skylight yang berdaftar di bawah bendera Republik Palau ketika berlayar melalui Selat Hormuz. Insiden itu berlaku selepas Kor Pengawal Revolusi Islam Iran mengisytiharkan selat tersebut ditutup kepada pelayaran antarabangsa pada 28 Februari 2026. Kapal tangki berkenaan menjadi sasaran kira-kira lima batu nautika (9.26 kilometer) di utara Pelabuhan Khasab.

Pada Januari 2026, Arab Saudi mengeluarkan 9.85 juta tong minyak sehari, diikuti dengan Iraq (4.33 juta tong), UAE (3.52 juta tong), Iran (3.34 juta tong) dan Kuwait (2.56 juta tong). Perang berpanjangan akan mengganggu pengeluaran dan eksport minyak, sekali gus meningkatkan harga komoditi tersebut dalam pasaran global.

Ketika Perang Iran–Iraq, pengeluaran minyak kedua-dua negara terjejas teruk. Iraq menceroboh Iran pada September 1980. Menjelang November 1980, kedua-dua negara hanya menghasilkan kira-kira satu juta tong minyak sehari. Keadaan ini menyebabkan harga minyak mentah meningkat daripada USD14 setong pada tahun 1978 kepada USD35 setong pada tahun 1981.

Pengeluaran dan pengeksportan minyak, serta gas asli turut berisiko terganggu sekiranya AS dan Israel melancarkan serangan terhadap kemudahan dan pelabuhan Iran. Iran merupakan pengeluar minyak mentah keempat terbesar dalam OPEC pada tahun 2025. Negara itu memiliki simpanan minyak sebanyak 209 bilion tong, ketiga terbesar di dunia selepas Venezuela dan Arab Saudi.

Pada tahun 2022, Iran menduduki tangga ke-18 dalam kalangan negara pengeksport gas asli dunia dengan simpanan berjumlah 1,200 trilion kaki padu, kedua terbesar selepas Rusia.

China ialah pengimport terbesar minyak mentah dan kondensat Iran. Sebanyak 91 peratus eksport minyak mentah dan kondensat Iran pada tahun 2023 adalah ke China. Pada tahun 2024, Iran mengeksport 1.6 juta tong sehari ke negara tersebut, manakala pada tahun 2025 jumlah import China direkodkan sebanyak 1.38 juta tong sehari.

Penutupan Selat Hormuz turut menjejaskan Qatar sebagai pengeksport LNG terbesar dunia. Pada tahun 2021, Asia menjadi pasaran utama LNG Qatar dengan jumlah eksport sebanyak 78.5 bilion meter padu, diikuti dengan Eropah (23.1 bilion meter padu), Timur Tengah (6.2 bilion meter padu) dan Amerika Selatan (2.4 bilion meter padu).

Kesimpulannya, Selat Hormuz merupakan nadi tenaga global kerana menjadi laluan utama perdagangan minyak dan LNG dari Timur Tengah ke pasaran antarabangsa. Sebarang gangguan di selat tersebut berpotensi menjejaskan bekalan tenaga, meningkatkan harga minyak dan LNG, serta menggugat kestabilan ekonomi dunia. Oleh itu, keselamatan dan kestabilan di Selat Hormuz amat penting bagi menjamin kelangsungan perdagangan tenaga dan kesejahteraan ekonomi global.

Kredit Foto: Freepik
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi