Diterbitkan pada 1 Mac 2026, 09:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Cyberjaya – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) memaklumkan bahawa perkhidmatan e-Filing bagi pengemukaan Borang Nyata (BN) bagi Tahun Saraan 2025 dan Tahun Taksiran 2025 yang melibatkan Borang E, BE, B, M, BT, MT, P, TF, TJ dan TP akan dibuka bermula 1 Mac 2026.

HASiL telah menguatkuasakan pengemukaan BN secara mandatori dengan menggunakan perkhidmatan yang disediakan secara dalam talian atau e-Filing melalui perkhidmatan portal MyTax. Pembayar cukai dan majikan boleh mengakses perkhidmatan ini secara terus ke portal MyTax di pautan https://mytax.hasil.gov.my atau melalui portal rasmi HASiL di menu MyTax > Perkhidmatan ezHasil > e-Filing.

Bermula pada 1 Mac 2026, Nombor Kad Pengenalan ditetapkan sebagai nombor pengenalan bagi pemegang MyKad, MyPR dan MyKAS untuk urusan percukaian, termasuk untuk mengakses ke portal MyTax. Bagi anggota tentera atau polis yang menggunakan nombor tentera atau polis sebagai pengenalan identiti sewaktu mengakses portal MyTax, mereka perlu mendaftar semula sijil digital individu menggunakan nombor kad pengenalan awam.

Bagi memastikan kelancaran proses pengemukaan BN melalui e-filing, pembayar cukai hendaklah memastikan telah mempunyai peranan yang tepat pada portal MyTax yang berkaitan dengannya seperti peranan “Individu” bagi kategori borang BE, B, M, BT, dan MT; peranan “Majikan atau Wakil Majikan” bagi kategori E & C.P.8D; peranan “Pengarah Syarikat/Pentadbir Organisasi atau Wakil Pengarah” bagi borang P, TF, dan TJ; serta peranan “Pentadbir Harta Pusaka” bagi borang TP.

Sebagai panduan pengemukaan e-Borang, pembayar cukai boleh merujuk Program Memfail BN bagi tahun 2026 yang boleh dicapai dan dimuat turun melalui pautan pantas menerusi (versi bahasa Melayu)  https://www.hasil.gov.my/media/02mbu5fw/program-memfail-bn-bagi-tahun-2026.pdf dan (versi bahasa Inggeris) https://www.hasil.gov.my/media/fqog1423/rf-filing-programme-for-2026.pdf.

HASiL mengingatkan bahawa kegagalan mengemukakan BN, serta melaporkan pendapatan sebenar dalam tempoh yang dibenarkan boleh menyebabkan pembayar cukai dikenakan tindakan di bawah subseksyen 112(1) Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967. Tindakan ini boleh melibatkan denda antara RM200 hingga RM20,000, penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Selain itu, pembayar cukai yang lewat mengemukakan BN, pengenaan penalti di bawah subseksyen 112(3) ACP 1967 akan dikenakan berdasarkan tempoh kelewatan dengan kadar antara 15 peratus hingga 45 peratus.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi