Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Bank Negara Malaysia (BNM) melalui kenyataan yang dikeluarkan semalam bertajuk Perkembangan Monetari dan Kewangan pada bulan Januari 2026 memaklumkan bahawa inflasi keseluruhan dan inflasi teras negara kekal stabil pada Januari 2026 apabila masing-masing mencatatkan kadar 1.6 peratus dan 2.3 peratus, mencerminkan tekanan harga yang terkawal dalam persekitaran ekonomi semasa.
Kenaikan inflasi harga barang kemas dan jam tangan yang lebih tinggi, selaras dengan peningkatan harga logam berharga global. Selain itu, harga elektrik menurun pada kadar lebih perlahan berikutan pengurangan diskaun berkaitan dengan kos penjanaan.
Walau bagaimanapun, tekanan tersebut diimbangi oleh inflasi yang lebih rendah bagi petrol RON97 serta beberapa komponen perkhidmatan dalam Indeks Harga Pengguna (IHP) teras, termasuk perkhidmatan penyelenggaraan dan pembaikan rumah serta perkhidmatan penstriman.
Dari segi sektor luaran, prestasi eksport negara menunjukkan peningkatan kukuh apabila pertumbuhan melonjak kepada 19.6 peratus berbanding dengan 10.2 peratus pada Disember 2025. Peningkatan ini didorong terutamanya oleh pertumbuhan mantap dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E).
Sebaliknya, pertumbuhan import menurun kepada 5.3 peratus berbanding dengan 9.5 peratus pada bulan sebelumnya susulan penurunan menyeluruh merentas semua komponen. Lebihan dagangan mencatatkan RM21.4 bilion, sedikit rendah berbanding dengan RM22.1 bilion pada Disember 2025, apabila prestasi eksport kukuh sebahagiannya diimbangi oleh paras import yang masih tinggi.
Sementara itu, pertumbuhan kredit kepada sektor swasta bukan kewangan kekal mampan pada kadar 5.5 peratus berbanding dengan 5.4 peratus pada Disember 2025. Pertumbuhan ini mencerminkan peningkatan dalam bon korporat terkumpul yang berkembang 7.6 peratus berbanding dengan 6.9 peratus sebelumnya, manakala pinjaman terkumpul kekal pada 5 peratus.
Pinjaman perniagaan meningkat 4 peratus berbanding dengan 3.9 peratus pada Disember, disokong oleh pertumbuhan lebih tinggi dalam pinjaman berkaitan dengan pelaburan, khususnya dalam kalangan syarikat bukan perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Pertumbuhan pinjaman PKS pula terus menunjukkan momentum berterusan.
Bagi sektor isi rumah, pertumbuhan pinjaman kekal stabil pada 5.6 peratus, didorong oleh peningkatan berterusan merentas kebanyakan tujuan pembiayaan.
Dari segi kestabilan sistem kewangan, kedudukan permodalan institusi perbankan kekal kukuh pada 18.1 peratus, menyediakan penampan mencukupi untuk menyerap kerugian tidak dijangka dan menyokong pengantaraan kredit. Sistem perbankan turut mencatatkan lebihan penampan modal sebanyak RM139.6 bilion pada Januari 2026.
Kualiti aset kekal terpelihara dengan nisbah pinjaman terjejas kasar dan bersih masing-masing stabil pada 1.4 peratus dan 0.9 peratus. Nisbah perlindungan kerugian pinjaman, termasuk rizab pengawalseliaan, berada pada 125.9 peratus daripada pinjaman terjejas kasar, kekal mencukupi untuk menampung risiko kerugian.
Dalam perkembangan pasaran kewangan, sentimen global terhadap dolar Amerika Syarikat (AS) yang lebih lemah akibat ketidakpastian geopolitik dan isu tarif turut mempengaruhi pasaran domestik. Dalam masa yang sama, sentimen positif terhadap asas ekonomi serta prospek pertumbuhan Malaysia menyokong aliran masuk portfolio asing.
Dalam suasana tersebut, ringgit menambah nilai sebanyak 2.9 peratus berbanding dengan dolar AS, manakala Indeks FBM KLCI meningkat 3.6 peratus sepanjang bulan berkenaan. Walaupun terbitan bersih Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) lebih tinggi, kadar hasil secara keseluruhan kekal stabil apabila permintaan berterusan daripada pelabur bukan pemastautin berjaya menyerap bekalan tambahan. Kadar hasil MGS 10 tahun hanya meningkat satu mata asas berbanding dengan purata kenaikan serantau sebanyak sembilan mata asas.