Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPerancis – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan agar negeri Perlis membuka peluang baharu kepada usahawan Perancis yang giat meneroka pasaran Asia Tenggara, khususnya di Malaysia.
Baginda bertitah, antara sektor berpotensi yang boleh diterokai bersama pelabur Perancis di Perlis termasuklah pertanian moden, pendidikan berkualiti tinggi dan teknologi hijau.
Demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) selepas baginda berkenan menyerahkan sumbangan MAIPs berjumlah RM4,000 kepada Masjid Les Abeilles.
Dalam majlis tersebut, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Tuanku Yang Dipertua MAIPs memaklumkan bahawa baginda turut dijemput menyokong program infak kepada masjid sekitar Paris sempena Ramadan, suatu inisiatif oleh Kedutaan Besar Malaysia bersama-sama komuniti Islam di kota raya berkenaan.
Sumbangan itu diterima wakil masjid, Imam Benerruoa Jamal dan Imam Assougdam Said. Yang turut mengiringi baginda ialah Duta Besar Malaysia ke Perancis, Tuan Yang Terutama (TYT) Datuk Eldeen Husaini Mohd Hashim; Setiausaha Pertama, Mohd Nizam Halimi; dan Setiausaha Kedua, Shahidanshakir Abdul Wahab.

Sementara itu, TYT Datuk Eldeen berkata, penyerahan sumbangan “From Perlis to Paris” mencerminkan komitmen berterusan MAIPs dalam memperkukuh ukhuwah, serta menyokong kebajikan masyarakat Islam pada peringkat antarabangsa.
Dalam perkembangan berkaitan dengannya, beliau memaklumkan bahawa jumlah keseluruhan perdagangan Malaysia-Kesatuan Eropah (EU) pada tahun 2025 melepasi €630 bilion, sekali gus mencatatkan rekod baharu dan menggambarkan prestasi kukuh dalam landskap pasaran global yang mencabar.
Menurutnya, eksport Malaysia ke EU menunjukkan peningkatan ketara meliputi produk elektrik dan elektronik (E&E), barangan berasaskan minyak sawit, serta peralatan pengangkutan.
“Angka rekod ini membuktikan keupayaan Malaysia untuk terus kekal berdaya saing, inovatif dan terbuka kepada perdagangan. Bagi pemain industri Perancis, perkembangan ini menunjukkan Malaysia berakar kukuh dalam rantaian bekalan global dan bersedia memenuhi permintaan Eropah terhadap produk pembuatan bernilai tinggi,” katanya.
Beliau berkata, trend tersebut memperlihatkan Malaysia berada pada kedudukan strategik untuk memenuhi permintaan Eropah terhadap komponen, peralatan dan produk pembuatan bernilai tinggi dalam kalangan pembeli, serta pemain industri Perancis.
Sehubungan dengan itu, Kedutaan Besar Malaysia di Paris akan memperkenalkan Perlis, khususnya Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA) kepada pelabur Perancis yang berhasrat mengembangkan perniagaan di Malaysia.
Dalam sektor pendidikan, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) akan dihubungi bagi mempertimbangkan permohonan mahasiswa dari Perancis untuk menyertai program pertukaran pelajar jangka masa pendek di Perlis dalam masa terdekat.
MAIPs menerusi Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) turut menawarkan peluang pengajian kepada komuniti Muslim antarabangsa termasuk dari Perancis. Program pengajian di UniSIRAJ menampilkan ciri unik berkonsepkan aplikasi sunnah (Applied Sunnah).