Diterbitkan pada 13 Februari 2026, 15:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Shah Alam – Tenaga Nasional Berhad (TNB) melalui anak syarikatnya, TNB Engineering Corporation Sdn. Bhd. (TNEC) memeterai kerjasama strategik dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menerusi anak syarikatnya, PKNS FM Integrated Sdn. Bhd. (PFMI) bagi membangunkan dan mengendalikan Sistem Penyejukan Berpusat di Seksyen 14, Shah Alam, Selangor.

Inisiatif tersebut bertujuan menyediakan penyelesaian penyejukan yang lebih cekap tenaga dan menyokong pembangunan bandar mampan di kawasan berkenaan.

Projek itu akan menggunakan loji penyejukan berpusat untuk menghasilkan cecair penyejuk (chilled water) yang kemudiannya dibekalkan kepada beberapa bangunan komersial dan institusi dalam kawasan pembangunan PKNS.

Antara lokasi yang terlibat termasuklah Plaza Perangsang, Plaza Alam Sentral, SA Sentral, SACC Mall, Ibu Pejabat PKNS dan Kompleks PKNS Shah Alam.

Pembekalan air penyejuk secara berpusat dijangka mengurangkan penggunaan tenaga secara individu bagi setiap bangunan, sekali gus meningkatkan kecekapan keseluruhan sistem penghawa dingin di kawasan tersebut.

Menurut kenyataan bersama, gabungan kepakaran kejuruteraan TNB dan portfolio pembangunan bandar PKNS menjadi pemangkin utama kepada pelaksanaan projek berskala besar itu.

Kerjasama berkenaan memanfaatkan keupayaan teknikal TNEC dalam pembangunan infrastruktur tenaga, di samping pengalaman PFMI dalam pengurusan fasiliti dan pembangunan hartanah bagi mempercepat pertumbuhan bandar yang lebih cekap tenaga.

Majlis menandatangani perjanjian kerjasama tersebut disaksikan pegawai tertinggi kedua-dua syarikat, termasuk Pengarah Urusan TNEC, Encik Ahmad Nizam Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutif PFMI, Encik Shamshul Bahari Ahmad, serta dihadiri wakil kerajaan negeri dan barisan pengurusan tertinggi kedua-dua organisasi.

Majlis itu menjadi simbol komitmen berterusan pihak berkepentingan dalam melaksanakan projek infrastruktur yang selaras dengan agenda pembangunan jangka masa panjang negeri Selangor.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, YBhg. Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan berkata, inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen syarikat dalam menyediakan penyelesaian tenaga inovatif yang menyokong pertumbuhan bandar mampan, serta mengurangkan jejak karbon.

Beliau berkata, pendekatan penyejukan berpusat mampu meningkatkan kecekapan tenaga dan menyumbang kepada pembentukan bandar pintar yang bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.

Sementara itu, PKNS memaklumkan bahawa projek tersebut selaras dengan strategi kerajaan negeri yang memberikan penekanan kepada penyediaan infrastruktur yang mampan, cekap dan bersedia menangani keperluan kawasan bandar padat.

Penggunaan teknologi penyejukan berpusat dijangka meningkatkan nilai aset jangka panjang, selain memberikan manfaat kepada penyewa dan pengunjung di kawasan pembangunan.

Projek sistem penyejukan berpusat itu turut direka bagi menyokong pembangunan masa hadapan di SA Sentral yang dirancang sebagai projek mercu tanda untuk memperkukuh kedudukan Shah Alam sebagai hab perniagaan utama di Selangor.

Melalui penyelesaian penyejukan berpusat, pihak terlibat yakin projek tersebut berupaya menarik pelaburan baharu, mengurangkan kos operasi bangunan dan menyumbang kepada kelestarian alam sekitar menerusi penjimatan tenaga dan pengurangan pelepasan gas rumah kaca.

Kredit Foto: Facebook Tenaga Nasional Berhad (TNB)
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi