Diterbitkan pada 3 Februari 2026, 18:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Perlis – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) menjunjung kasih Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail yang berkenan mencemar duli merasmikan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Sentuhan HASiL Prihatin 2026.

Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Dr. Hajjah Lailatul Shahreen Akashah Khalil turut berangkat ke program tersebut bertempat di Kampung Seberang Ramai bagi menyantuni komuniti setempat.

Menerusi kerjasama strategik dengan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), program CSR tersebut dimeriahkan dengan aktiviti kayuhan basikal bersama-sama DYTM Raja Muda Perlis bagi menyantuni masyarakat asnaf setempat.

Program CSR ini turut dimeriahkan dengan aktiviti kayuhan basikal bersama-sama DYTM Raja Muda Perlis.

Keberangkatan baginda menzahirkan keprihatinan institusi diraja terhadap kebajikan rakyat, di samping mengeratkan hubungan antara warga HASiL dengan komuniti setempat.

Dalam program berkenaan, DYTM Raja Muda Perlis turut berkenan menyampaikan sumbangan kepada tiga buah rumah asnaf. HASiL menyalurkan bantuan tunai dan barangan keperluan asas kepada keluarga terlibat sebagai tanda keprihatinan terhadap golongan yang memerlukan.

DYTM Raja Muda Perlis berkenan menyampaikan sumbangan barangan keperluan asas kepada keluarga terlibat sebagai tanda keprihatinan terhadap kebajikan masyarakat.

Dalam titah ucapan, baginda menyeru agar budaya pemberian sama ada melalui sumbangan material, kepakaran, masa atau tenaga terus diperkasakan bagi memperkukuh jalinan kebajikan dalam masyarakat.

Baginda turut menzahirkan harapan agar setiap organisasi dan individu menunaikan tanggungjawab kepada negara, termasuk melalui pembayaran cukai demi menjamin kesejahteraan rakyat tanpa mengira latar belakang.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pematuhan) HASiL, Encik Shaharrudy Othman berkata, HASiL sentiasa komited melaksanakan amanah dalam menyantuni golongan masyarakat yang memerlukan.

Menurut beliau, penganjuran program CSR bersama-sama MAIPs itu mencerminkan peranan HASiL sebagai agensi pemungut cukai langsung negara yang bukan sahaja menumpukan kutipan hasil, malah prihatin terhadap kebajikan rakyat.

Selain itu, HASiL turut melaksanakan inisiatif mengecat semula dan menceriakan persekitaran Rumah Penghulu Omar di Kampung Warna Warni sebagai usaha memulihara warisan kampung yang bernilai tinggi, sekali gus memperkukuh kedudukannya sebagai satu daripada tarikan pelancongan utama di negeri Perlis.

Penganjuran Program CSR Sentuhan HASiL Prihatin 2026 diyakini mampu memperkukuh jaringan sokongan sosial, memupuk budaya prihatin dan empati dalam kalangan masyarakat, serta menyokong aspirasi kerajaan untuk memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara tanpa ada golongan yang terpinggir.

Program ini turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, YBrs. Tuan Haji Mohd Nazim Haji Mohd Noor; Pengarah Jabatan Khidmat Korporat HASiL, YBrs. Encik Shahrul Niza Bishahrin; Pengarah Negeri HASiL Perlis, YBrs. Encik Mohd Affendi Ayub, selain barisan kepimpinan negeri, pegawai HASiL, serta tetamu jemputan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi